HENDRAWAN (tiga dari kanan) berdepan tanggungjawab besar.
HENDRAWAN (tiga dari kanan) berdepan tanggungjawab besar.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Tugas berat bakal menanti jurulatih perseorangan negara, Hendrawan kerana bukan saja akan memantau prestasi Datuk Lee Chong Wei tetapi juga Liew Daren, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Cheam June Wei.

Perkara itu diumumkan secara rasmi oleh Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen dalam satu sidang media di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

“Bagaimanapun, secara keseluruhan semua pemain perseorangan dan jurulatih berada dalam satu kumpulan serta perlu bekerjasama,” katanya.

Jelasnya, pada masa akan datang Hendrawan yang berasal dari Indonesia akan memantau perkembangan Chong Wei dan cuba memperbaiki kelemahan bekas pemain nombor satu dunia itu.

“Chong Wei sudah bersama jurulatih sama (Rashid Sidek dan Tey Seu Bock) untuk tempoh lama. Sekarang masa untuk perubahan.

“Mungkin perubahan ini mendatangkan sesuatu yang istimewa termasuk muncul juara Kejohanan Dunia,” katanya yang menjelaskan Seu Bock pula akan melatih Chong Wei Feng serta beberapa pemain lain.

Ujar Frost, dalam latihan semua jurulatih saling bantu-membantu dan melihat pemain secara berkelompok kecuali ketika kejohanan dan merangka program latihan, barulah mengikut kumpulan dibahagikan.

“Dalam masa sama kita masih lagi akan memberi peluang kepada pemain muda menyertai beberapa kejohanan. Mungkin dalam tempoh seminggu lagi saya akan umumkan pemain yang akan berada di bawah pengawasan Seu Bock.

“Saya akan beri peluang kepada pemain muda kerana mereka akan menjadi tunjang masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Daren dan Wei Feng masih dilabel antara pemain perseorangan terbaik negara selepas Chong Wei berdasarkan ujian pemilihan Sukan SEA 2015 Singapura dan Piala Sudirman minggu lalu.

“Bagaimanapun, saya hanya akan umumkan pemain yang bakal beraksi dalam kedua-dua kejohanan itu selepas keputusan Panel Pendengaran Doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membabitkan Chong Wei.

“Kita akan tunggu hingga saat akhir kerana senarai nama untuk Piala Sudirman tutup 27 April ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 8:23 AM