Kuala Lumpur: Hanya mencapai sasaran dan tidak mampu melakukan kejutan. Kesimpulan mudah buat skuad badminton negara yang tumpas 1-3 keada Korea Selatan dalam aksi suku akhir Piala Sudirman semalam.

Hanya Datuk Lee Chong Wei (gambar) berjaya menyumbang mata buat negara manakala aksi perseorangan wanita, beregu lelaki dan wanita dilihat bergelut untuk menumpaskan lawan masing-masing yang dilihat lebih bersedia kali ini berbanding pertemuan awal di peringkat kumpulan.

Hasrat untuk melihat gandingan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong mengulangi kecemerlangan tidak kesampaian apabila kali ini mereka tunduk di tangan pasangan nombor satu dunia, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong.

Kesilapan terutama pukulan terkandas di jaring menyebabkan V Shem-Wee Kiong tumpas straight set 18-21, 16-21 dalam perlawanan memakan masa 48 minit.

Pemain perseorangan wanita negara Tee Jing Yi pula gagal melakar kejutan apabila tumpas di tangan Sung Ji Hyun 17-21, 12-21.

Bagaimanapun, semangat dan cabaran diberikan pemain kelahiran Pulau Pinang di set pertama itu harus dipuji apabila bangkit dari ketinggalan 2-7, sebelum berjaya mengikat kedudukan 15-15 namun akur dengan kehandalan lawannya yang juga pemain nombor tujuh dunia.

Seperti dijangka Chong Wei tidak berdepan masalah mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus di kejohanan itu apabila mengalahkan pemain nombor lima dunia, Son Wan Ho 21-17, 21-12.

Ketua pasukan negara itu membuktikan penggantungan selama lapan bulan daripada menyertai mana-mana kejohanan bukan halangan untuk kembali berada di landasan sebenar dan tidak mustahil untuk merampas semula gelaran nombor satu dunia.

Korea Selatan mengesahkan slot mara ke separuh akhir apabila beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei tumpas 23-21, 16-21, 11-21 kepada Chang Ye Na-Jung Kyung Eun.

Sementara itu, Chong Wei akur dengan kegagalan Malaysia ke separuh akhir tetapi dalam masa yang sama gembira dengan prestasi sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:24 AM