Chong Wei tewas kepada pemain Korea Selatan. FOTO HM
Chong Wei tewas kepada pemain Korea Selatan. FOTO HM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei memulakan cabaran memburu gelaran Siri Super Dunia dengan langkah kiri apabila tewas dalam aksi pertama Kumpulan B di Kompleks Sukan Hamdan, Dubai hari ini.

Chong Wei yang merangkul gelaran Terbuka Jepun bulan lalu gagal menampilkan aksi yang baik apabila tewas kepada pemain Korea Selatan, Son Wan Ho dengan 10-21, 16-21 dalam masa 38 minit.

Menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org, Chong Wei, 34, akan bertemu pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long pada perlawanan keduanya dalam kumpulan itu esok.

Selain Chong Wei, pasangan beregu wanita utama negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei turut kecundang kepada gandingan Denmark, Kamilla Rytter Juhl-Christinna Pedersen 7-21, 17-21 pada perlawanan pertama mereka Kumpulan B.

Bagaimanapun, Chong Wei serta Vivian-Khe Wei masih berpeluang ke separuh akhir sekiranya mampu mencatat kemenangan dalam baki dua perlawanan mereka dalam kumpulan masing-masing.

Sementara itu, beregu lelaki nombor satu dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mendapat kemenangan percuma pada perlawanan pertama Kumpulan B selepas pasangan Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen menarik diri daripada kejohanan itu.

V Shem-Wee Kiong akan bertemu pasangan China, Li Junhui-Liu Yuchen untuk perlawanan kedua mereka esok.

Kejohanan Siri Super Dunia di Dubai yang bermula hari ini hingga 18 Dis itu disertai lapan pemain terbaik dalam kutipan mata sirkit Siri Super bagi setiap kategori iaitu perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran.

Ia menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan USD1 juta (RM4.48 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 10:14 PM