DUGRO (kanan) tidak dapat beraksi menentang Thailand.
DUGRO (kanan) tidak dapat beraksi menentang Thailand.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Tidak adil! Itu respon pengurus pasukan ragbi 15 sebelah negara Raimi Yusof susulan keputusan Kesatuan Ragbi Asia (ARFU) menggantung bintang ragbi negara K Dineswaran seminggu kerana didapati beraksi kasar ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelmarin.

Akibat penggantungan itu pemain utama skuad negara itu tidak dapat diturunkan pada aksi terakhir kumpulan bertemu Thailand dalam Kejohanan Ragbi Asia (ARC) petang esok.

Sebaliknya, tiga pemain UAE yang turut didapati bersalah oleh Jawatankuasa Citing dan Tatatertib ARFU hanya dikenakan amaran.

Perkhabaran itu menyentap semangat pasukan kebangsaan yang kini sibuk mempersiapkan diri menjelang aksi getir mengekalkan kejuaraan divisyen dua itu.

“Berita ini memang mengejutkan. Kami kecewa kerana mereka menggantung pemain kita, namun tiga pemain UAE yang juga didapati bersalah sekadar diberi amaran,” kata Raimi kepada Arena Metro, semalam.

Menurutnya, Dineswaran atau lebih dikenali sebagai Dugro paling kecewa dengan hukuman itu, apatah lagi pemain kelab Yamaha Jubilo itu sanggup mengambil cuti semata-mata mahu membantu skuad negara dalam saingan Kejohanan Ragbi Asia (ARC) ini.

“Dugro lebih kecewa kerana dia sanggup meminta cuti daripada kelabnya di Jepun untuk bersama pasukan negara, tapi ini pula yang berlaku.

“Namun, kami akan berjuang habis-habisan Sabtu ini (esok) dan saya harap penyokong turun beramai-ramai membakar semangat pemain,” katanya.

Ketika ditanya adakah pihaknya akan membuat rayuan, Raimi berkata: “Proses rayuan memakan masa tiga ke empat hari, tiada guna membuat rayuan kerana aksi terakhir cuma tinggal sehari saja lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:16 AM