DUGRO (dua dari kiri) tunjang skuad negara ketika melawan Taiwan.
DUGRO (dua dari kiri) tunjang skuad negara ketika melawan Taiwan.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengendali skuad ragbi negara Lee Nyuk Fah gembira dengan aksi bertenaga bintang ragbi, K Dineswaran ketika membantu membenam Taiwan dalam kempen Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Ahad lalu yang disifatkannya begitu menakjubkan.

Malah beliau mahu pemain dikenali dengan panggilan ‘Dugro’ itu mengulangi aksi mantapnya bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) petang ini, sekali gus memastikan tiga mata penuh menjadi milik negara.

“Dugro seorang pemain bagus dan mempunyai pengalaman luas beraksi bersama kelab profesional di Jepun (Kelab Yamaha Jubilo).

“Kehadirannya memberi kelebihan kepada saya menyediakan ramuan terbaik buat pasukan, harapan saya Dugro mempamerkan aksi hebat dan memimpin pemain lain di padang,” katanya.

Pada aksi pertama, Malaysia memulakan saingan ARC dengan bergaya apabila membelasah Taiwan 46-13 untuk menduduki tangga kedua di belakang UAE selepas pasukan negara teluk itu menumpaskan Thailand 53-22.

Jelas Nyuk Fah lagi, bagi pertemuan getir bertemu UAE hari ini, beliau tidak berhasrat melakukan sebarang rombakan pemain sebaliknya terus mempertaruhkan pemain sama.

“Saya sedar kekuatan lawan yang dibarisi semua pemain naturalisasi dari Eropah, namun ia tidak bererti kami akan menjadi mangsa mereka.

“Saya yakin dengan semangat tinggi dan komitmen ditunjukkan pemain, kita boleh lakukan sesuatu. Di samping itu, saya juga menyeru agar penyokong hadir beramai-ramai untuk membakar semangat pemain seperti ketika menentang Taiwan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:25 AM