Mohd Syahir (kiri) galas tugas kapten negara. FOTO MRT
Mohd Syahir (kiri) galas tugas kapten negara. FOTO MRT
Meor Riduwan Meor Ahmad


KESILAPAN mudah seperti ‘knock on' perlu dielak sama sekali oleh semua pemain ragbi Malaysia ketika perlawanan menentang Hong Kong dalam Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2019 di Hong Kong Football Club pada perlawanan Sabtu ini.

Pengurus pasukan, Amir Amri Mohamad berkata, kesilapan dilakukan akan membawa padah kepada skuad negara dalam menyaingi juara bertahan itu yang menewaskan Korea Selatan, 47-10 dalam perlawanan pertama, di Namdong Asiad Stadium Incheon, 8 Jun lalu.

"Selepas menyaksikan perlawanan Korea Selatan dengan Hong Kong tempoh hari, pemain kita mesti berhati-hati dan tidak membuat kesilapan mudah.

Ini yang saya tekankan kepada jurulatih supaya pemain bersedia dalam menghadapi Hong Kong," katanya.

Menurutnya, pasukan negara dibimbing ketua jurulatih Bradley Moni Mika perlu mempamer persembahan terpuji bertemu Hong Kong yang berada di ranking ke-25 dunia.

"Aspek positif saya lihat selepas perlawanan menentang Korea Selatan, prestasi pemain pertama kali menyarung jersi negara cukup baik.

"Memang amat puas hati dan yakin mereka dapat memberikan persembahan terbaik berdepan Hong Kong apatah lagi semuanya bebas daripada kecederaan serta mempunyai keazaman tinggi," katanya.

Mengulas ketiadaan K Dinesvaran atau Dugro untuk aksi timbal balik menentang Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 Jun depan, Amir Amri berkata, dua pemain bakal mengisi tempat kapten itu.

"Untuk perlawanan kedua di Bukit Jalil nanti, memang Dugro tidak dapat bermain kerana perlu mendaftar diri di kelab Hino Reds Dolphins di Jepun.

"Kita tidak begitu rasa kehilangannya kerana bermain di tempat sendiri.

Dua calon iaitu Mohd Syahir Asraf Rosli yang juga kapten pasukan tahun lalu serta Mohd Fairuz Abdul Rahman bakal menggalas tugas kapten pasukan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amir Amri berharap insiden tunjuk perasaan yang mencetus keganasan di Hong Kong susulan bantahan perbahasan rang undang-undang ekstradisi ke China tidak menjejaskan psikologi pemain negara.

Katanya, semakan turut dibuat dengan pihak kedutaan di Malaysia serta Kesatuan Ragbi Hong Kong bagi mengelak insiden tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 4:42 PM