AMIRUDDIN (berdiri tengah) bersama skuad ragbi kebangsaan selepas sidang media.
AMIRUDDIN (berdiri tengah) bersama skuad ragbi kebangsaan selepas sidang media.
Oleh Mohd Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Laluan skuad ragbi negara kendalian Lee Nyuk Fah mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Ahad ini berdepan ujian cukup getir apabila pasukan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bakal membariskan ramai pemain naturalisasi.

Tekanan sudah pasti dirasai untuk merealisasikan sasaran Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) itu, namun presiden Datuk Wira Amiruddin Embi tetap optimis peluang melihat anak buah Nyuk Fah menjulang trofi buat kali kedua berturut-turut tetap cerah.

“Peluang menjuarai ARC sememangnya begitu mencabar berdasarkan reputasi UAE yang membariskan hampir keseluruhan pemain warga asing daripada UK (United Kingdom). Namun, saya tetap percaya dengan kekuatan pemain negara mengatasi lawan,” katanya sempena pelancaran ARC di Hotel Best Western, Petaling Jaya, semalam.

Tambahnya lagi, persediaan rapi skuad kebangsaan sejak berakhirnya Liga Super KRM 2015 bulan lalu, diyakini mampu memberi cabaran bermakna biarpun membariskan ramai muka baru.

“Walaupun beberapa pemain yang mewakili pasukan tujuh sebelah terpaksa diketepikan bagi memberi laluan kepada persediaan ke Sukan SEA Singapura, skuad negara masih mempunyai pengganti mengisi kekosongan itu.

“Dengan kehadiran pemain berpotensi dari SSTMI (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail) dan pemain profesional berpangkalan di Jepun, K Dineshvaran, saya yakin kami boleh menewaskan setiap pencabar,” katanya.

Pada pelancaran itu, KRM turut memperkenalkan jersi baru kebangsaan tajaan Canterbury yang diperagakan ketua pasukan, Syahir Asraf Rosli dan Dineshvaran sebelum diikuti dengan simbolik pelancaran iaitu penyerahan Jalur Gemilang disempurnakan Amiruddin.

Malaysia bakal membuka gelanggang bertemu Taiwan di Stadium MBPJ sebelum diuji Thailand (13 Mei) dan UAE (16 Mei). Format baru ARC kali ini menyaksikan juara divisyen dua bakal dinaikkan ke divisyen satu musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 9:18 AM