CHARIKOT, Nepal: Seorang wanita Nepal yang cedera terkena serpihan runtuhan gempa bumi Selasa lalu, dikejarkan ke sebuah hospital di Kathmandu hari ini, menggunakan helikopter Perdana Menteri negara itu selepas dua anggota paramedik Britain merayu kepada pegawai bagi menyelamatkan nyawa wanita itu.

Perdana Menteri Sushil Koirala sedang melawat bandar Charikot di daerah Dolakha, kira-kira 70 kilometer dari Kathmandu. Charikot antara kawasan yang terjejas teruk akibat gempa bumi kedua dalam masa tiga minggu,

Koirala sedang menerima taklimat mengenai usaha bantuan dan menyelamat dalam khemah tentera, tidak jauh dari tempat dua anggota paramedik sedang memberi bantuan pernafasan dengan menekan dada wanita separuh umur itu.

Anngota paramedik itu memberitahu Reuters mereka mengambil masa sejam merayu kepada pegawai tentera supaya memberitahu perdana menteri mengenai wanita itu.

Anggota paramedik berkenaan merayu kepada juruterbang helikopter itu yang kemudian memberitahu perdana menteri dan dalam masa beberapa saat, tentera Nepal meluru keluar dari khemah Koirala, mengangkat wanita itu ke dalam helikopter yang kemudian terbang bersama anggota paramedik terbabit.

Berapa jam kemudian, helikopter itu kembali ke Charikot dan dua anggota paramedik Britain berkenaan berkata kepada perdana menteri: “Terima kasih untuk helikopter. Ia menyelamatkan nyawa wanita itu.”

Sebelum menaiki helikopter, Koirala berkata: “Ia tugas kami dan kami berusaha sepenuhnya”. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 8:20 PM