PENDUDUK Kathmandu membaca akhbar apabila kehidupan semakin kembali normal.
PENDUDUK Kathmandu membaca akhbar apabila kehidupan semakin kembali normal.
PASUKAN penyelamat Perancis menyelitkan kamera dalam runtuhan ketika usaha mencari mangsa gempa.
PASUKAN penyelamat Perancis menyelitkan kamera dalam runtuhan ketika usaha mencari mangsa gempa.
Reuters

Kathmandu: Angka kematian akibat gempa bumi di Nepal semakin meningkat kepada 6,200 setakat semalam apabila ratusan mayat masih ditemui enam hari selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda negara terbabit, memaksa pegawai kerajaan mengarahkan pembakaran serta-merta.

“Rumah mayat terlalu padat, kami diberi arahan untuk membakar mayat serta-merta,” kata pegawai paramilitari India, Raman Lal yang bekerja di bawah penyelarasan tentera Nepal.

Bantuan mula bergerak secara perlahan ke bandar serta kampung terpencil yang terletak di pergunungan dan kaki bukit, tetapi bau busuk dari mayat yang terperangkap menyukarkan penduduk kembali ke rumah masing-masing.

Mereka terpaksa tidur di tempat terbuka sejak gempa bumi melanda Sabtu lalu. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 600,000 rumah musnah dan rosak.

Menteri Kewangan Ram Sharan Mahat berkata, Nepal memerlukan sekurang-kurangnya AS$2 bilion (RM7 bilion) untuk membina semula penempatan, hospital, pejabat kerajaan dan bangunan bersejarah selain merayu bantuan daripada penderma antarabangsa.

“Ini hanya anggaran awal, banyak masa diperlukan untuk menilai tahap kerosakan dan mengira kos pembinaan semula,” katanya.

Menurut PBB, 8 juta orang terjejas dengan sekurang-kurangnya dua juta khemah, air, makanan dan ubat diperlukan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Menteri Penerangan Minendra Rijal berkata, kerajaan akan memberi bantuan AS$1,000 (RM4,000) kepada keluarga yang terkorban, selain AS$400 (RM1,400) bagi pembakaran mayat atau pengebumian. Dalam pada itu, Perdana Menteri Sushil Koirala menjangka angka kematian akibat gempa boleh mencecah 10,000.

Sehingga kini kerajaan belum dapat menilai kerosakan di kawasan pedalaman, selain peluang menemui mangsa yang terselamat kian pudar.

Sementara itu, penduduk Nepal menuduh kerajaan terlalu lambat menghantar bantuan sekali gus menimbulkan kemarahan penduduk di beberapa kawasan apabila masih banyak lokasi belum menerima bantuan, terutama yang lebih terpencil.

Kerajaan Nepal merayu masyarakat dunia menghantar lebih banyak helikopter untuk operasi menyelamat dengan China dijangka antara yang mendahului menghulurkan bantuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 8:09 AM