Kathmandu: Keluarga lima warga Nepal yang terbunuh dalam nahas helikopter tentera Amerika Syarikat (AS) bulan lalu ketika menghantar bantuan kemanusiaan, semalam menuntut pampasan daripada kerajaan AS dan berkata terpaksa menunggu beberapa minggu sebelum mendapat pengesahan mengenai kematian itu.

Pihak berkuasa pada mulanya memberitahu hanya enam anggota Marin AS dan dua tentera Nepal berada dalam helikopter yang terhempas pada 12 Mei di pergunungan timur laut Nepal. Bangkai helikopter itu ditemui selepas pencarian selama enam hari.

Ujian DNA dan siasatan lanjut dilakukan kedua-dua negara mendapati terdapat lima orang lagi terkorban.

Ahli keluarga Siva Bahadur yang terbunuh dalam kemalangan itu, Purna Bahadur Khatri berkata: “Kami menuntut AS memberikan wang pampasan atau insurans kepada keluarga mangsa.

“Kami tidak akan menyempurnakan mayat mereka terbabit sehingga isu ini diselesaikan dan jika perlu akan mengadakan protes di luar kedutaan Amerika Syarikat.

“Ia mengambil masa beberapa minggu untuk pihak berkuasa mengakui kemalangan yang mengorbankan ahli keluarga kami. Kami tidak mempunyai sebarang kontrak daripada kerajaan AS mahupun kerajaan kami yang mengatakan kami akan mendapat pampasan.”

Misi bantuan AS dikerahkan sebaik gempa bumi magnitud 7.8 melanda Nepal pada 25 April lalu manakala gempa bumi magnitud 7.3 yang melanda 12 Mei lalu berlaku beberapa jam sebelum helikopter itu terhempas. Punca kemalangan itu belum ditentukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 8:11 AM