BERUANG teddy terbaring di atas longokan serpihan runtuhan di Kathmandu, Nepal. FOTO AP
BERUANG teddy terbaring di atas longokan serpihan runtuhan di Kathmandu, Nepal. FOTO AP

Kathmandu: Angka kematian akibat gempa di Nepal mungkin mencecah 10,000 orang, kata Perdana Menteri, Sushil Koirala.

Selain itu, katanya, beliau turut mengarahkan usaha menyelamat dipertingkatkan selain merayu bantuan bekalan ubat daripada masyarakat antarabangsa.

“Kerajaan kini sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyelamat mangsa dalam keadaan yang begitu tertekan. Ini adalah saat sukar buat Nepal,” kata Koirala dalam temubual.

Sumber rasmi kementerian dalam negeri kini sudah mengumumkan 4,349 terkorban dalam tragedi berkenaan.

Jika angkat kematian itu mencecah 10,000 orang, tragedi itu akan terpahat dalam sejarah baru mengatasi 8,500 mangsa yang dicatatkan pada 1934.

Koirala berada di luar negara ketika negara itu dihentam gempa 7.9 magnitud, pada Sabtu lalu. Beliau pulang sehari selepas tragedi.

Beliau kemudian mengarahkan kerajaannya untuk memperbaiki dan mempertingkatkan usaha dan akan membuat pengumuman rasmi, lewat petang ini.

Koirala berkata, Nepal memerlukan bekalan ubat dan khemah kerana kebanyakan rakyatnya kini tidur di luar selepas rumah mereka musnah.

“Penduduk kini tidur di padang dan dalam keadaan yang tidak begitu selesa sekali. Saya merayu. Kami memerlukan banyak ubat dan khemah.

“Kini terdapat lebih 7,000 penduduk yang cedera. Merawat mereka akan menjadi satu cabaran yang besar buat kami,” katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 3:40 PM