PEMAIN negara Nik Mohd Shahiddan (kiri) mengasak pemain UAE, Niall Statham.
PEMAIN negara Nik Mohd Shahiddan (kiri) mengasak pemain UAE, Niall Statham.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kelana Jaya: Elemen tuah nyata mengiringi perjuangan anak buah Lee Nyuk Fah apabila skuad ragbi 15 sebelah negara melakar kemenangan tipis 20-19 ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam saingan Kejohanan Ragbi Asia (ARC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.

Kemenangan kedua berturut-turut itu menyaksikan Malaysia kini hanya tinggal selangkah lagi untuk mengekalkan kejuaraan dimenangi musim lalu apabila memimpin carta kumpulan divisyen dua dan bakal bertemu pasukan di tangga tercorot Thailand pada aksi terakhir Sabtu ini.

Skuad negara yang masih segar dengan kemenangan besar menjinakkan Taiwan dalam aksi pertama, sememangnya tidak memberi sebarang ruang kepada lawan yang dibarisi hampir keseluruhan tenaga naturalisasi dari United Kingdom.

Tuan rumah meraih try pertama menerusi gerakan lincah Atunasia Lacadamu pada minit ke-13 yang bijak memperdaya pemain pelawat, namun tendangan conversion yang diambil gagal menemui sasaran.

UAE bangkit dengan try pertama di minit ke-20 melalui percubaan Edward Lewsey dan Hassan Al Noobi menambah mata pasukannya menerusi sepakan covertion untuk mendahului tuan rumah 5-7.

Lima minit kemudian, Malaysia mendapat tendangan penalti yang mudah disempurnakan Mohamad Sharif Sudin untuk mendahului satu mata, 8-7. Namun sebelum babak pertama tamat, UAE berjaya menambah try kedua menerusi Etonia Vaqa Saukuru pada minit ke-30 untuk mendahului 12-8.

Sebaik bersambung babak kedua, Malaysia menggandakan asakan ke kubu pelawat.

Hasil daripada tekanan diberikan, skuad negara berjaya menambah dua try menerusi Lacadamu (minit ke-50) dan Mohamad Aiman Jamaluddin (minit ke-69) serta satu tendangan conversion Mohamad Syarif Sudin.

Bagaimanapun UAE tidak berputus asa apabila Jaen Botes menghadiahkan try ketiga dan conversion, namun semua itu tidak cukup untuk menghalang skuad negara menundukkan pasukan Asia Barat itu.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua pemain atas kemenangan ini. Saya akui tuah memihak kepada kami, namun pujian juga perlu diberikan kepada pemain.

“Kami masih ada satu lagi aksi bertemu musuh tradisi , Thailand. Biarpun mereka tewas semua aksi sebelum ini, saya tetap waspada kerana mereka mempunyai pemain pantas yang boleh memerangkap kami.

“Apapun, saya harap pemain kekal fokus untuk aksi itu nanti,” kata Nyuk Fah.

Terdahulu, dalam satu lagi aksi, Taiwan menebus kehampaan kekalahan pertama dengan menumbangkan Thailand 29-24.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 6:59 AM