Kuala Lumpur: CIMB Bank Berhad komited mencapai pendapatan tahunan bagi tahun pertama (AFYP) sebanyak RM25 juta menerusi pelancaran produk terbaru, Sun EduSmart.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, pihaknya menyasarkan 5,000 pelanggan dalam tempoh 12 bulan ini.

Katanya, Sun EduSmart dibangunkan eksklusif oleh Sun Life Malaysia untuk CIMB Bank dan menjadi produk pelan pendidikan yang disasarkan untuk membantu ibu bapa menyediakan akses kewangan anak untuk pendidikan berkualiti bagi masa depan.

“Kami membuat praperasmian Sun EduSmart pada Januari lalu untuk melihat bagaimana sambutan diterima daripada orang ramai dan ternyata ia menerima maklum balas positif, sekali gus meraih pendapatan tahunan bagi tahun pertama sebanyak RM1.2 juta daripada 220 pelanggan.

“Sun EduSmart adalah produk unik dan terbaik bagi ibu bapa yang ingin merancang dari awal lagi untuk pendidikan anak mereka,” katanya selepas majlis pelancaran Sun EduSmart di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia Assurance Berhad, Ooi Say Teng dan Ketua Pegawai Pengedarannya, Raymond Lew Yung Chow.

Sulaiman berkata, CIMB mahu memperkasakan ibu bapa dengan mendidik mereka mengenai kepentingan perancangan awal serta tabungan untuk masa depan anak mulai sekarang menerusi pelan tepat dan sejajar peningkatan kos sara hidup.

Sementara itu, Ooi berkata, Sun EduSmart adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia jika dibandingkan dengan produk penyelesaian pendidikan yang sama dalam pasaran.

“Sun EduSmart mempunyai ciri unik Dana Galakan Pendidikan dan pembayaran berkadar faedah selain jaminan ganjaran matang. Selain itu, ia juga amat telus.

“Dana galakan adalah tambahan tahunan yang pro kadar dan dikreditkan pada akhir setiap ulang tahun bulanan polisi mengikut tahap keuntungan yang ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 6:14 AM