Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group), akan meneruskan rancangan peluasan operasinya di rantau ini terutama di ASEAN dan menjangka memulakan operasinya di Vietnam menjelang akhir tahun ini.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, CIMB Group menyasarkan untuk menjadi peneraju bank serantau dengan mempunyai kedudukan kukuh di semua negara ASEAN.

Katanya, di Vietnam CIMB menjadi satu-satunya bank asing yang berjaya menerima lesen membuka cawangan di sana.

“Kami menerima kelulusan memasuki pasaran Vietnam pada Julai 2015 dan sekarang dalam proses menubuhkan cawangan di Vietnam yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya akhir 2016.

“Bagi melengkapkan lagi pelan tindakan ASEAN CIMB, kami juga sedang menunggu kelulusan untuk memasuki pasaran di Filipina menjelang 2017,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) CIMB Group di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd, Datuk Seri Nazir Razak.

Tengku Zafrul berkata, peluasan itu sejajar dengan inisiatif Sasaran 2018 kumpulan CIMB Group yang menyasarkan untuk mempunyai kedudukan kukuh di semua negara ASEAN.

Menurutnya, dengan situasi ekonomi yang mencabar pada masa ini, pihaknya sentiasa membuka peluang untuk mana-mana kerjasama yang berpotensi dikembangkan.

Beliau berkata, dengan pertumbuhan organik yang dicapai daripada operasinya di Singapura dan Kemboja, Kumpulan yakin dengan strategi untuk pasaran baharu.

Sementara itu, CIMB melupuskan 51 pegangan saham dalam PT CIMB Sun Life (CIMB Sun Life) untuk pertimbangan tunai sebanyak 550 juta rupiah Indonesia (RM169 juta).

“Dengan pelupusan terbabit, kami tidak akan lagi fokus kepada pembuatan, tetapi akan memberi tumpuan terhadap saluran pengedaran. Seterusnya, untuk mengukuhkan kerjasama serantau dengan Sun Life,” katanya.

Penjualan itu dilakukan menerusi jualan saham yang dilakukan CIMB Group dan akan diperoleh secara langsung serta tidak langsung oleh Sun Life Assurance Company of Canada (Sun Life).

CIMB Group dan Sun Life menjadi rakan kongsi bankasurans di Indonesia dan Malaysia sejak 2009 dan 2013 yang menekankan kerjasama jangka panjang di antara kedua-dua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 6:14 AM