MUHAMMAD Fikri bersama Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank, Rafe Haneef melancarkan Takaful Suria.
MUHAMMAD Fikri bersama Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank, Rafe Haneef melancarkan Takaful Suria.

Kuala Lumpur: Sun Life Malaysia Takaful Bhd (Sun Life Takaful) dengan kerjasama bankatakaful, CIMB Islamic Bank (CIMB Islamic) melancarkan produk haji takaful universal pertamanya, Takaful Suria yang menggabungkan elemen simpanan, perlindungan dan kestabilan kewangan untuk membantu umat Islam menunaikan Rukun Islam kelima.

Produk itu yang pertama di Malaysia lebih stabil dan memberi pulangan secara beransur-ansur berbanding insurans konvensional yang terdedah kepada ketidaktentuan pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life, Muhammad Fikri Mohamad Rawi berkata, Takaful Suria menyediakan pembayaran khas RM1,500 kepada individu yang diinsuranskan selepas tahun ketiga bagi membuka akaun Tabung Haji atau menambah jumlah simpanan sedia ada.

Beliau berkata, produk yang diperkenalkan secara prapelancaran pada Disember lalu mencatatkan 1,000 jualan polisi dan menunjukkan ia mendapat permintaan dalam pasaran tempatan.

“Melalui Takaful Suria, kami memberi jaminan dalam pelaburan serta membantu pelanggan melengkapkan persediaan melaksanakan ibadah haji atau umrah.

“Pengenalan produk ini membantu meningkatkan penembusan pasaran industri takaful tempatan yang kini masih luas untuk diterokai pemain industri seperti kami,” katanya pada majlis pelancaran Takaful Suria di sini, semalam.

Ditanya unjuran prestasi industri takaful tempatan pada tahun ini, Muhammad Fikri berkata, pihaknya mengunjurkan penembusan pasaran industri takaful Malaysia mampu berkembang pada kadar 14 hingga 15 peratus menjelang akhir tahun ini berbanding 13 peratus ketika ini.

Katanya, unjuran angka itu bersandarkan prestasi pertumbuhan pada sekitar 0.5 hingga satu peratus setahun dan terdapat permintaan pengguna Islam yang kukuh.

“Sasaran ini meletakkan industri takaful tempatan pada landasan betul untuk mencatatkan 25 peratus penembusan pasaran menjelang 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 6:44 AM