Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kehilangan lima pemain tonggak bagi menghadapi Kejohanan Ragbi Asia (ARC) di Kuala Lumpur mulai 10 Mei, benar-benar mengganggu perancangan ketua jurulatih kebangsaan Lee Nyuk Fah dalam mempertahankan kejuaraan dimenangi di Qatar musim lalu.

Lima pemain itu ialah Adzmir Zeinol Abidin, Fairuz Rahman, Anwarul Hafiz, Suffian Kamil dan Safuwan Abdullah.

Difahamkan, kelima-lima pemain kini menjalani latihan bersama pasukan ragbi tujuh sebelah negara dalam persiapan menghadapi Sukan SEA di Singapura yang hanya mensasarkan empat kelompok terbaik di sukan serantau itu.

Menurut Nyuk Fah, Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) seharusnya memberi keutamaan kepada skuad kendaliannya bagi mengharungi saingan ARC kerana jika pasukan kebangsaan dapat mempertahankan gelaran juara, Malaysia bakal dinaikkan pangkat ke divisyen satu berbanding divisyen dua ketika ini.

“Perancangan saya kini amat terganggu. Mereka pemain penting kepada saya dan situasi sekarang memeningkan kepala. Ini kerana lima pemain yang sepatutnya berlatih dengan saya tiba-tiba diarahkan pihak pengurusan KRM supaya menjalani latihan bersama pasukan tujuh sebelah Sukan SEA.

“ARC itu lebih penting kerana kita berpeluang naik ke divisyen satu musim depan sekiranya bergelar juara sekali lagi. Adanya pasukan seperti Taiwan kali ini menyukarkan kita namun saya akui jika lima pemain itu ada, kemungkinan kejutan boleh berlaku apatah lagi beraksi di depan penyokong sendiri.

“Saya memohon kepada jurulatih mereka (Nik Safuan Ismadi) supaya melepaskan pemain itu bagi membolehkan mereka berlatih bersama kami secepat mungkin,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Format baru ARC musim ini menyaksikan pasukan seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand dan Taiwan yang beraksi dalam divisyen satu diturunkan ke divisyen dua dan bakal memberi saingan kepada Malaysia.

Skuad negara masih berada dalam kelompok divisyen dua ARC walaupun memenangi kategori berkenaan musim lalu. Tapi disebabkan format baru diperkenalkan ARC, pasukan negara terpaksa kekal di divisyen itu.

Mengulas mengenai latihan fasa pertama yang membabitkan seramai 45 pemain, Nyuk Fah menyifatkan latihan tiga hari itu bermula Jumaat lalu, berjaya biarpun tumpuannya lebih memberi peluang kepada muka baru sebelum memilih 30 pemain bagi latihan pusat kedua, 24-26 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 9:20 AM