MAHU fokus dalam lakonan.
MAHU fokus dalam lakonan.
Syanty Octavia Amry

"Cukuplah ini saja dulu. Rasanya saya belum bersedia untuk mengarah filem apatah lagi drama," kata bintang popular Aaron Aziz yang pertama kali mengarah filem berjudul Romeo Kota terbitan Excellent Pictures Sdn Bhd.

Aaron yang diberi kepercayaan oleh Ahmad Idham berkata, sebagai pengarah baru dia memperoleh banyak pengalaman.

"Saya terima tawaran itu kerana kepercayaan yang diberikan Ahmad Idham. Fokus utama saya masih sebagai pelakon," katanya yang turut membintangi filem itu bersama Nabil Ahmad, Fizo Omar dan Hanis Zalikha.

Dalam masa yang sama, Aaron juga teruja menunggu maklum balas penonton terhadap filem berkenaan yang bakal ditayangkan awal Januari depan.

"Selepas beberapa suntingan, ramai yang suka dan tertarik dengan filem ini termasuk orang produksi sendiri.

"Ia filem yang sangat berlainan apatah lagi saya berjaya mengubah personaliti Nabil dan Hanis lari daripada watak stereotaip yang biasa mereka bawakan," katanya.

Mengulas mengenai perjalanan kariernya sepanjang tahun depan, Aaron berkata, banyak drama dan filemnya yang sudah pun selesai menjalani penggambaran dan hanya menunggu waktu ditayangkan saja.

Antaranya telefilem Cinta Paling Agung arahan Hanung Bramantyo yang juga pengarah filem Ayat-Ayat Cinta.

"Malah saya juga baru selesai menjalani supertelefilem yang ditukarkan kepada filem iaitu Suamiku Encik Perfect 10, adaptasi daripada sebuah novel bergandingan dengan Lisa Surihani.

"Diam-diam saya banyak perkara yang saya lakukan. Namun, menjadi kemestian setiap tahun pada bulan Disember saya akan berehat sebentar daripada aktiviti seni untuk membawa keluarga terutamanya anak-anak pergi bercuti," kata bapa kepada tiga anak ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:07 AM