RAMAI doktor tidak bertauliah seperti Mon yang bergegas ke rumah pesakit selepas menerima panggilan telefon.
RAMAI doktor tidak bertauliah seperti Mon yang bergegas ke rumah pesakit selepas menerima panggilan telefon.
 ANTARA ubat dan peralatan yang ada dalam ‘klinik bergerak’ Mon.
ANTARA ubat dan peralatan yang ada dalam ‘klinik bergerak’ Mon.
KEN Mon sentiasa bersedia merawat orang kampung yang perlukan khidmatnya.
KEN Mon sentiasa bersedia merawat orang kampung yang perlukan khidmatnya.
PENDUDUK kampung di Kemboja terpaksa mendapatkan khidmat doktor tidak bertauliah.
PENDUDUK kampung di Kemboja terpaksa mendapatkan khidmat doktor tidak bertauliah.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Apabila telefon berbunyi, bekas askar Khmer Rouge, Ken Mon terus mencapai beg yang dipenuhi ubat dan kunci motosikalnya bergegas ke kawasan perkampungan miskin di Kemboja untuk bertemu pesakit.

Aksinya tidak ubah seperti doktor kampung, bezanya dia tidak ada pendidikan formal dalam bidang perubatan.

Namun penduduk kampung tiada pilihan. Kehadiran Mon, 55, dan lain-lain ‘doktor’ sepertinya sangat dihargai kerana mereka adalah satu-satunya sumber rawatan bagi ribuan penduduk miskin di kampung Ang Ro Ngeang yang terletak kira-kira 70 kilometer di selatan Phnom Penh.

Ketiadaan sijil kelayakan atau pentauliahan tidak menjadi masalah buat Mon yang menggelarkan dirinya ‘doktor’. Dia sanggup melalui jalan berbonggol, berlekuk dan berlubang untuk menuju ke wilayah Kampong Speu. Destinasinya ialah rumah Chei Tana, 27, yang mengadu mengalami sakit perut berpanjangan.

“Ada banyak angin dalam perut kamu,” kata Mon selepas memeriksa pesakitnya sambil menghulurkan sepeket pil antasid.

Mon antara ratusan doktor tidak bertauliah yang merawat pesakit di seluruh Kemboja. Sistem penjagaan kesihatan di Kemboja hampir runtuh di bawah pemerintahan regim Khmer Rouge pada 1970-an dan sehingga kini masih belum pulih.

Hampir 70 peratus rakyat Kemboja mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan daripada sektor swasta termasuklah farmasi, doktor tidak bertauliah atau pengamal perubatan tradisional yang dipanggil ‘Kru Khmer’ berdasarkan soal selidik yang dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2012.

Namun doktor tidak bertauliah kini berada di bawah pemantauan ketat selepas berlakunya letusan jangkitan virus HIV di perkampungan terpencil di barat Kemboja, November tahun lalu. Menurut pihak berkuasa, jangkitan berpunca daripada doktor tidak bertauliah, Yem Chroeum yang mengaku menggunakan jarum dan picagari terpakai untuk merawat pesakit.

Disebabkan amalan tidak beretika itu, lebih 200 pesakitnya disahkan positif HIV dan Chroeum berhadapan dengan tuduhan membunuh kerana dianggap menyebabkan jangkitan virus berkenaan dengan se­ngaja dan membuka klinik secara haram.

Disebabkan skandal itulah kini kerajaan Kemboja berikrar untuk menjejaki pengamal perubatan yang tidak berlesen dan tidak bertauliah.

Perkhidmatan yang diberikan doktor tidak bertauliah itu boleh memberi kesan kepada kehidupan penduduk dan menjejaskan nama baik negara, kata Sok Srun, pengarah di jabatan perkhidmatan hospital, Kementerian Kesihatan Kemboja. Jabatan inilah yang memantau dan memberi lesen kepada kakitangan perubatan dan klinik.

Kelas di hutan

Di sebalik kebimbangan itu, kerajaan masih perlu mengadakan polisi khas untuk memujuk doktor yang baru dilatih meninggalkan keselesaan hidup di bandar dan bersedia berkhidmat di kawasan pedalaman dan terpencil.

Kelebihan yang dinikmati petugas kesihatan termasuk doktor di Kemboja amat menyedihkan. Malah sampai sekarang ramai doktor yang tidak mendapat kenaikan pangkat. Doktor antara kerjaya profesional yang cuba dihapuskan Khmer Rouge dengan menyembelih ramai golongan terpelajar di negara itu.

Angka Bank Dunia menunjukkan Kemboja yang dikategorikan sebagai antara negara Asia paling miskin hanya mempunyai 0.2 doktor bagi setiap 100,000 penduduk lebih kurang sama dengan Afghanistan.

Kesan tragis peristiwa kejam itu (pembunuhan golongan terpelajar) masih dirasai dan menghantui penduduk sehingga hari ini. Keadaan di Myanmar tidak jauh berbeza dengan 0.4 doktor bagi 100,000 penduduk manakala Perancis boleh berbangga dengan kadar 3.2 bagi 100,000 orang.

Bagi berjuta-juta penduduk Kemboja, khidmat doktor seperti Mon sangat diperlukan kerana ia bukan saja murah tetapi itulah satu-satunya pilihan yang mereka ada.

“Saya belajar kemahiran perubatan ini melalui pengalaman hidup,” kata Mon sambil memberitahu, pihak berkuasa tempatan tidak pernah menghalangnya memberikan rawatan.

Sedihnya, pendidikan yang diterima oleh Mon itu diperoleh daripada orang yang menghancurkan sistem kesihatan Kemboja. Mon mula menyertai Khmer Rouge sebagai askar pada 1974, sejurus sebelum regim komunis itu berkuasa.

Apabila ia ditumbangkan pada 1979 selepas menyebabkan hampir dua juta nyawa terkorban sama ada dibunuh, kelaparan atau mati kerana dipaksa bekerja terlalu kuat, Mon dan rakan kader lain (anggota tentera yang profesional dan terlatih) melarikan diri ke Sam­lot di sempadan Thailand.

Di sanalah dia mula belajar kemahiran merawat. ‘Kelas’ pertamanya bermula bersama pasukan perubatan Khmer Rouge dan kemudian dia menimba ilmu daripada doktor luar yang dibawa oleh Persatuan Palang Merah ke Kemboja.

“Pada hari pertama, mereka beri saya jarum, picagari dan ubat. Mereka minta saya menyuntik seorang tentera yang cedera,” katanya mengimbas kenangan silam.

Walaupun tiada pentauliahan, kini Mon boleh melakukan pelbagai prosedur daripada merawat penyakit malaria dan demam kepialu sehinggalah menjahit luka.

Tiada pilihan

Nuch Dy, janda berusia 56 tahun mengakui tidak pernah bertemu dengan doktor bertauliah.

“Pusat rawatan terlalu jauh dan saya tiada wang untuk membayar kos rawatan atau ubat,” katanya.

Jadi dia cuba mengubati masalah sakit perut yang dialami sejak dulu dengan mengambil ubat tahan sakit dan pil antasid yang dibeli daripada Mon secara hutang.

Jirannya, Uon Sreang, 35, memberitahu semua orang dalam kampung berkenaan sedar bahawa doktor yang merawat mereka tidak mendapat latihan formal.

“Tetapi kami percayakan dia. Dia sentiasa menggunakan jarum dan picagari baru apabila memberikan suntikan kepada keluarga saya,” katanya sambil memeluk anaknya yang baru berusia sembilan bulan.

Tidak boleh menyalahkan penduduk kerana mempercayai Mon walaupun tahu dia bukanlah dok­tor sebenar. Ini kerana pusat kesihatan rasmi yang disediakan kerajaan juga biasanya gagal memberikan rawatan yang lebih baik.

WHO berkata, kira-kira 43 peratus daripada 11,000 pusat kesihatan rasmi di seluruh Kemboja iaitu tempat pertama untuk mendapat­kan rawatan tidak mampu menyediakan perkhidmatan menyeluruh kerana kekurangan doktor, ubat dan peralatan.

Pada masa sama, tinjauan yang dilakukan oleh Bank Dunia pada tahun lalu mendapati hanya satu daripada tiga doktor bertauliah di pusat kesihatan luar bandar yang boleh membuat pengesanan terhadap pelbagai jenis penyakit.

Daripada kelompok berkenaan, hanya 17 peratus berupaya memberikan ubat bersesuaian dengan masalah kesihatan yang dialami pesakit.

Di luar hospital kanak-kanak di Phnom Penh, Heng Hen, 45, duduk bersama tiga cucu lelakinya yang tidak sihat. Mereka sabar menunggu giliran dipanggil bertemu doktor selepas melalui perjalanan sejauh 80 kilometer dari kampung.

“Pegawai perubatan di kawasan kampung belum ada kepakaran untuk merawat kanak-kanak,” kata Hen. Dia mengakui letusan jangkitan HIV, baru-baru ini membuatkannya terkejut dan berfikir panjang sama ada mahu terus mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan tidak bertauliah.

“Kalau boleh memang tidak mahu, tetapi kami tiada pilihan. Kami orang miskin,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 2:02 PM