DR Syairah Nadia  melakukan rawatan kepada pesakit.
DR Syairah Nadia melakukan rawatan kepada pesakit.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


WAJAH cantik doktor ini kerap 'FYP' dalam video TikTok kerana keaktifannya berkongsi tip penjagaan dan rawatan untuk kecantikan serta kesihatan kulit.

Beliau memilih pendekatan itu disebabkan masih ramai wanita tersilap langkah untuk rawatan kulit dan estetik yang menggunakan khidmat individu tidak berkelayakan seperti pakar kecantikan di salon kecantikan.

Hakikatnya tindakan itu seperti 'menempah' bahaya yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri mereka.

Dr Syairah Nadia Mohamad, 38, berkata, itu cabaran yang beliau hadapi sejak enam tahun menjadi pakar kulit dan estetik di sebuah klinik di Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, di media massa dan elektronik sudah melaporkan banyak kes mangsa perawat estetik tidak bertauliah, tetapi itu tidak membuatkan mereka (mangsa) takut.

"Antara risiko rawatan kulit dengan perawat estetik tidak bertauliah ialah komplikasi kerana mereka melakukan rawatan tanpa prosedur yang betul.

"Ini akan meningkatkan risiko jangkitan kuman yang boleh mengakibatkan kematian," katanya.

Katanya, risiko kedua ialah kandungan bahan pada produk digunakan untuk rawatan tidak diketahui yang berkemungkinan mengandungi bahan terlarang dan berbahaya kepada kesihatan.

"Apatah lagi mereka beroperasi tanpa dikawal selia mana-mana badan berkuasa," katanya.

Anak kelahiran Selangor ini berkata, berbeza dengan pakar kulit dan estetik bertauliah, perkhidmatan mereka dipantau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Di samping itu, doktor ini perlu menjalani latihan secukupnya sebelum diberikan lesen melakukan rawatan estetik berkenaan.

"Malah, doktor kulit dan estetik bertauliah turut dilatih merawat komplikasi sekiranya masalah ini berlaku ketika prosedur rawatan berlangsung.

"Sebab itu sebelum melakukan rawatan estetik anda perlu terlebih dahulu mengetahui latar belakang klinik berkenaan termasuk rawatan diberikan.

"Jangan terpedaya dengan tawaran harga murah untuk melakukan rawatan berkenaan," katanya.

Katanya, wanita perlu mengetahui konsep 3P sebagai garis panduan sebelum mendapatkan rawatan kulit dan estetik.

"P yang pertama ialah prosedur iaitu mengenal pasti prosedur invasif atau tidak. Hanya doktor berkelayakan dibenarkan menjalankan prosedur invasif.

"P kedua adalah pengamal perubatan (doktor). Hendaklah memastikan pengamal perubatan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia dan Amalan Perubatan Estetik daripada KKM.

"P ketiga pula mengenai premis. Individu perlu memastikan prosedur invasif dijalankan di premis jagaan kesihatan berdaftar (klinik atau hospital)," katanya.

Berkongsi lanjut cabaran lain dilaluinya Dr Syairah Nadia berkata, beliau turut tidak terlepas daripada kecaman segelintir pihak mengenai perubatan estetik dalam Islam.

Jelasnya, memang ada golongan skeptikal atau kurang faham dengan perubatan estetik.

"Sebab itu penting memberikan kesedaran mengenai kepentingan perubatan estetik, apa yang kami (pakar kulit dan estetik) boleh bantu serta jenis rawatan boleh diberikan.

"Sebenarnya perubatan estetik lebih kepada membantu memulihkan masalah kulit seseorang.

"Contoh masalah parut jerawat, jadi rawatan dilakukan ini untuk menambah baik masalah itu menerusi rawatan daripada pakar kulit dan estetik.

"Rawatan membaik pulih kulit tidak merbahayakan kesihatan dan ia boleh memberi impak positif kepada kehidupan seseorang kerana membabitkan imej," katanya.

Katanya lagi, perubatan estetik membantu mengembalikan keyakinan seseorang.

"Di sini saya nampak perubatan estetik menjadi lebih meluas pada masa depan. Rawatan menerusi suntikan dan produk semakin berkualiti menggunakan teknologi terkini.

"Perubatan estetik adalah satu bidang yang sentiasa berkembang untuk memberikan rawatan terbaik kepada pesakit," katanya.

Menyentuh tahap kesedaran wanita terhadap perubatan estetik beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya ia semakin meningkat yang dibantu lambakan maklumat menerusi media sosial.

"Secara tidak langsung, ramai wanita mulai sedar wujudnya perubatan estetik dan mereka sudah mula mendapatkan rawatan ini. Meskipun masih ada mendapatkan rawatan itu dengan perawat estetik tidak bertauliah.

"Rawatan estetik adalah menyeluruh bermula daripada muka hingga kaki yang merangkumi rawatan menurunkan berat badan, masalah rambut gugur dan sebagainya.

"Perlu diketahui bahawa rawatan estetik tidak membabitkan prosedur pembedahan.

"Manakala rawatan membabitkan pembedahan adalah pembedahan plastik yang dikendalikan pakar pembedahan plastik dan prosedur berkenaan perlu dilakukan di hospital," katanya.

Jelasnya, ada beberapa jenis rawatan estetik seperti invasif, invasif minima dan tidak invasif.

Dalam pada itu Dr Syairah Nadia berkongsi tip kecantikan wanita bagi yang ingin tampil sihat dan cantik perlu menjaga penampilan luaran serta kesihatan dalaman.

"Sebenarnya kita tidak boleh mengabaikan kesihatan dalaman dan pada masa sama perlu menjaga kecantikan serta kesihatan luaran.

"Kesihatan dalaman asasnya ialah menjaga pemakanan seimbang, melakukan aktiviti fizikal supaya sihat dan mengekalkan berat badan ideal.

"Berat badan berlebihan akan mendatangkan pelbagai masalah kesihatan dan kulit," katamya."

Tambahnya, untuk penjagaan luaran memerlukan penjagaan yang konsisten dan bersesuaian.

"Ramai menjaga muka, tetapi menggunakan produk penjagaan wajah yang tidak sesuai dan ia boleh memudaratkan.

"Sekiranya mempunyai masalah kulit disarankan berjumpa pakar kulit dan estetik untuk khidmat nasihat serta rawatan," katanya.

Katanya lagi, dalam perubatan estetik ada pilihan rawatan. Salah satunya ialah rawatan untuk mengekalkan kesihatan dan keremajaan kulit.

"Rawatan ini untuk melewatkan tanda penuaan dan waktu ideal melakukan rawatan berkenaan ialah pada usia awal 30-an.

"Jangan lewat hingga usia 50-an untuk rawatan ini kerana tanda penuaan pada wajah sudah ketara.

"Untuk mengurangkan masalah ini (tanda penuaan) perlu melakukan banyak usaha dan rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 7:00 AM