ATEROSKLEROSIS ialah kolesterol plak terkumpul di dalam dinding salur darah arteri manusia. -SUMBER GOOGLE
ATEROSKLEROSIS ialah kolesterol plak terkumpul di dalam dinding salur darah arteri manusia. -SUMBER GOOGLE
Nor 'Asyikin Mat Hayin


PENYAKIT kardiovaskular iaitu serangan jantung dan angin ahmar adalah masalah kesihatan yang sangat membimbangkan serta perlu dipandang serius.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) meramalkan menjelang 2030, seramai 23.6 juta penduduk di seluruh dunia meninggal dunia disebabkan penyakit kardiovaskular.

Menurut Laporan Perangkaan Sebab Kematian di Malaysia pada 2021, serangan jantung kekal menjadi penyebab utama kematian di Malaysia yang merekodkan 18,556 kematian atau 17.0 peratus daripada jumlah kematian disahkan secara perubatan pada 2020.

Pakar Perunding Perubatan dan Jantung Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang Dr Shahidi Jamaludin berkata, penyakit ini bermula dengan beberapa faktor risiko kardiovaskular yang terdiri daripada penyakit tiga serangkai seperti kencing manis, darah tinggi dan kandungan kolesterol tinggi dalam darah.

Menurutnya, jika faktor ini tidak dikesan dan dirawat pada peringkat awal, komplikasi kepada organ dalaman akan terjadi.

"Bermula dengan pembentukan plak kolesterol di dinding darah (aterosklerosis), penyakit sumbatan arteri koronari, serangan jantung, angin ahmar, penyakit jantung bengkak dan akhirnya menyebabkan kegagalan jantung peringkat akhir (penyakit lemah jantung) serta kematian.

"Aterosklerosis adalah keadaan yang berlaku apabila bahan melekit dipanggil kolesterol plak terkumpul di dalam dinding salur darah arteri.

"Proses aterosklerosis berlaku secara perlahan bergantung kepada faktor risiko dimiliki individu itu dan bagaimana tahap terkawalnya keadaan faktor risiko berkenaan," katanya.

Beliau berkata, faktor risiko lain kardiovaskular seperti tabiat merokok, kegemukan (obesiti), stres, keturunan, kehidupan sedentari tanpa senaman dan polar pemakanan tidak sihat, memburukkan lagi masalah kardiovaskular di negara ini," katanya.

"Penyakit lemah jantung adalah komplikasi organ jantung bersifat kekal dan sukar dirawat. Ditambah pula ia membabitkan bebanan kos rawatan yang tinggi di fasiliti kesihatan negara ini.

"Banyak kajian membuktikan, pengesanan dan rawatan awal faktor risiko penyakit kardiovaskular boleh mencegah serta menghentikan perkembangan penyakit ini.

"Amalan gaya hidup sihat adalah kunci utama dalam proses mencegah masalah penyakit kardiovaskular," katanya.

Dr Shahidi berkata, tindakan yang boleh dilakukan ialah melalui pemakanan yang sihat dan seimbang iaitu memperbanyakkan makanan kaya dengan omega-3 dan serat larut.

"Hendaklah melakukan aktiviti fizikal lima kali seminggu, selama 30 minit setiap sesi. Namun, perlu pilih aktiviti fizikal mengikut kemampuan dan senaman aerobik adalah pilihan terbaik untuk kesihatan jantung.

"Tindakan ketiga ialah menangani stres dengan bijak melalui cara berfikiran positif, membuat keputusan secara bijak, rancang perubahan dalam hidup, menjalinkan persahabatan dan berkongsi masalah bersama orang lain.

"Seterusnya mengekalkan berat badan ideal. Bagi mereka yang sudah mempunyai penyakit kronik tiga serangkai, hendaklah mematuhi nasihat doktor, mengambil ubat seperti disyorkan, hadir temu janji ditetapkan.

"Ini bagi mengelakkan komplikasi daripada penyakit kronik seperti serangan jantung dan angin ahmar," katanya.

Katanya, jangan mudah terperdaya dengan produk kesihatan dan nasihat daripada pihak tidak bertauliah mengenai kesihatan terutama yang diuar-uarkan dalam media sosial.

"Setiap individu mempunyai tahap kesihatan yang berbeza. Pastikan mendapat penjelasan mengenai masalah kesihatan daripada doktor bertauliah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 6:30 AM