DR Noor Azmi Ghazali. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
DR Noor Azmi Ghazali. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Pendakwah bebas, Ustaz Kazim atau nama sebenar Datuk Mohd Kazim Elias dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan sakit kulit yang dihidapinya dengan doktor pakar dengan kadar segera.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, tindakan itu perlu dilakukan segera untuk memastikan pendakwah itu mendapat rawatan yang tepat oleh pihak yang bertauliah.

"Sesiapa pun kalau ada sakit kulit, pergilah berjumpa doktor di klinik, mesti dapat rawatan yang tepat,

diagnosis yang tepat untuk rawatan, tak boleh terima siapa-siapa yang datang, rawatan mesti daripada orang yang bertauliah.

"Jadi saya cadangkan bukan sahaja Datuk Ustaz tapi siapa saja yang ada sakit, tampil ke hospital.

"Kalau kes itu berat, kes akan dirujuk ke hospital besar, hospital pakar dan doktor pakar yang akan buat keputusan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al Baqir, di sini hari ini.

Kelmarin, Ustaz Kazim Elias dalam hantaran di Facebook mendedahkan dirinya mempunyai sakit misteri yang menyebabkan tubuhnya luka berdarah secara tiba-tiba.

Menurutnya, beliau telah mencuba pelbagai bentuk rawatan sama ada moden mahupun tradisional.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 1:43 PM