Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Noormi Othman (dua kiri) ketika Sambutan Pelancaran Kempen ‘Say No To Fake Dentists’ Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Tahun 2022 di sini hari ini. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Noormi Othman (dua kiri) ketika Sambutan Pelancaran Kempen ‘Say No To Fake Dentists’ Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Tahun 2022 di sini hari ini. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Pernah menandatangani perjanjian dengan doktor gigi palsu atau tidak bertauliah antara faktor mangsa enggan membuat laporan sehingga menyukarkan siasatan dilakukan.

Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Noormi Othman berkata, situasi itu membuatkan KKM tidak dapat mengambil tindakan susulan bagi mengesan pihak yang menawarkan perkhidmatan berkenaan.

"Mereka buat perjanjian, macam satu perjanjian antara pemberi perkhidmatan pengamal perubatan palsu dengan pelanggan-pelanggan di mana pelanggan mengatakan mereka perlu menandatangani satu (perjanjian) kontrak untuk tidak memberi tahu sesiapa berkaitan rawatan yang mereka dapat.

"Jadi pernah ada kes mereka datang ke klinik pergigian dan kita minta supaya melaporkan siapa (dan) di mana tempat, tetapi mereka tak dapat dedah sebab sudah 'sign' (tandatangan) kontrak, jadi tak berani nak dedahkan.

"Situasi ini menyukarkan kita untuk mengambil tindakan lanjut dan kita harap mereka yang sudah mendapatkan perkhidmatan itu tampil ke depan. Jangan takut untuk buat laporan dan kita tidak akan dedahkan identiti mereka sebaliknya ia (maklumat) hanya bantu siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan pelancaran Kempen 'Say No To Fake Dentists' Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) 2022, di sini, hari ini.

Dr Noormi berkata, sebanyak 51 tindakan pendakwaan mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) membabitkan kesalahan menyediakan klinik pergigian swasta tanpa berdaftar diambil sepanjang 2017 hingga 2021.

Katanya, selain rakyat tempatan, kegiatan berkenaan turut dilakukan pengamal perubatan luar negara seperti China, Thailand dan Indonesia dengan harga lebih murah daripada pasaran.

"Daripada segi harga pula, harga ditawarkan bagi perkhidmatan pendakap gigi palsu adalah antara RM200 sehingga RM600 dan harganya tidak logik berbanding rawatan oleh pengamal perubatan bertauliah.

"Namun, kita tidak boleh buat perbandingan kerana rawatan di klinik swasta sudah termasuk dengan rawatan susulan secara berkala," katanya.

Katanya, KKM mahu mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu obses mengikut trend semasa sehingga gigi menjadi korban di tangan orang yang tidak bertanggungjawab.

"Pengamal perubatan palsu ini akan terus wujud selagi ada permintaan, jadi orang ramai diingatkan untuk mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan pergigian yang bertauliah di klinik-klinik pergigian yang berdaftar dengan KKM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 5:23 PM