Bukit Mertajam: “Ini negara kita, kita semua hidup dan mati di sini. Sebab itu, BN (Barisan Nasional) perlu jaga supaya tidak berlaku pergaduhan atau krisis, demi memastikan kita dapat menumpukan masa membangunkan negara,” tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia akan mundur sekiranya berlaku konflik antara agama, sikap curiga dan pergaduhan berterusan yang akhirnya membawa kesengsaraan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, sejak merdeka 57 tahun lalu, gangguan kepada agama tidak pernah berlaku dalam kalangan masyarakat di negara ini, sebaliknya rakyat pelbagai kaum dengan kepercayaan berbeza hidup penuh harmoni dan bersatu padu.

“Kita tidak mahu salah sangka atau buruk sangka antara agama wujud dalam masyarakat kita. Jangan sangsi kerana Islam sendiri memberi jaminan amalan agama lain tidak akan terganggu seperti yang tersebut dalam al-Quran iaitu bagi kamu agama kamu.

“Kita boleh lihat rumah ibadat dibina di sana sini tanpa sebarang gangguan kerana kita tidak pernah mengganggu-gugat sesama agama. Pada jalan sama kita boleh lihat masjid, wat, kuil dan gereja dibina tanpa sebarang masalah dan keharmonian agama inilah yang BN akan kekalkan selagi memerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat di Wat Rajchaphohong di Kampung Telok Wang di sini, semalam.

Turut hadir Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong, calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin dan ketua masyarakat Siam yang juga Ketua Bahagian Gerakan Permatang Pauh, Khoo Sin.

Lebih 400 orang layak mengundi di kawasan berkenaan termasuk 21 berketurunan Siam.

Timbalan Perdana Menteri turut menyumbangkan RM30,000 untuk sekolah bahasa Siam berusia 20 tahun di wat berkenaan yang mempunyai 30 pelajar di peringkat rendah dan menengah.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, kerajaan memberi jaminan kebebasan beragama dengan Islam sebagai agama Persekutuan akan dipelihara.

Kata beliau, keamanan yang dikecapi itu membawa kepada kemajuan dan pembangunan negara yang pesat sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 9:26 AM