Permatang Pauh: Tiga Naib Presiden UMNO dikerah untuk turun padang bagi membantu melancarkan serta mengukuhkan perjalanan jentera pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang dan Rompin, Pahang.

Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) di PRK Parlimen Permatang Pauh, pada 7 Mei manakala Datuk Seri Hishammuddin Hussein di PRK Parlimen Rompin, 5 Mei nanti.

Beliau berkata, Datuk Seri Shafie Apdal pula akan membantu menyelaraskan bantuan yang perlu untuk melancarkan lagi jentera BN yang bakal bertugas di kedua-dua PRK berkenaan terutama Parlimen Permatang Pauh.

“Perbincangan di peringkat bahagian Permatang Pauh sudah selesai, begitu juga beberapa siri perjumpaan membabitkan pemimpin peringkat negeri sebelum ini bagi merangka strategi dan persediaan untuk kedua-dua PRK yang berlangsung pada masa hampir sama.

“Persiapan sudah siap dan komponen BN setuju membantu jentera pada peringkat PRK Parlimen Permatang Pauh. Saya sudah diberi taklimat oleh Ketua Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Zainal Abdin Osman serta Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said yang berikrar menebus kekalahan sebelum ini,” katanya.

Muhyiddin dalam rangka lawatan sehari ke Parlimen Permatang Pauh yang dimulakan dengan program walkabout dan sarapan di Pasar Awam Seberang Jaya, Mesyuarat Bersama Jawatankuasa BN, UMNO Permatang Pauh dan Jentera Pilihan Raya BN di Wisma Transformasi, Bangunan UMNO Permatang Pauh dan mengimamkan solat Zuhur di Masjid Sama Gagah.

Lawatan itu diakhiri dengan Majlis Perasmian Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Sama Gagah serta penyerahan surat cadangan projek pembinaan dewan terbuka di enam sekolah dalam Parlimen Permatang Pauh.

Muhyiddin turut menandatangani plak sebagai simbolik merasmikan dewan terbuka sekolah berkenaan yang disiapkan awal bulan ini dengan kos RM200,000.

Difahamkan, pembinaan dewan terbuka itu membabitkan 11 sekolah dalam Parlimen Permatang Pauh dan pembinaan kemudahan itu di lima sekolah sudah selesai manakala bakinya akan disiapkan dalam tempoh dua bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 10:20 AM