GELAGAT orang ramai pada sambutan Pesta Songkran.
GELAGAT orang ramai pada sambutan Pesta Songkran.
myMetro

Padang Terap: Kerajaan negeri akan mengkaji semula untuk memberi cuti peristiwa sempena Pesta Songkran bagi membolehkan seluruh masyarakat Siam di negeri ini menyambutnya setiap tahun.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, perayaan itu tidak semestinya disambut pada hari cuti saja, bahkan ia boleh dilakukan pada hari biasa, namun pihaknya akan mengkaji balik langkah itu seperti yang disuarakan sebelum ini.

Beliau berkata, ini kerana sebelum ini, cuti Thaipusam sudah diberi dalam tempoh lama, malah kerajaan negeri turut memberi cuti peristiwa ketika sambutan perayaan itu.

“Kita akan menjadikan sambutan Pesta Songkran peringkat negeri sebagai acara tahunan untuk mengumpul semua masyarakat Siam di negeri ini yang berada di merata-rata tempat.

“Apabila program seperti ini diadakan, ia dapat mengeratkan lagi hubungan dengan jauh dan yang dekat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pesta Songkran Peringkat Negeri Kedah, di Pekarangan Wat Phikulthararam Kampung Tanjung Mukim Pedu, di sini, semalam.

Turut hadir Senator Datuk Seri Boon Som Inong, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan negeri, Datuk Dr Leong Yong Kong dan Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah berkata, pihaknya akan terus memberi peruntukan seperti yang dijanjikan sebelum ini kepada 48 Wat Siam di negeri ini yang jumlah keseluruhannya berjumlah RM240,000.

Beliau berkata, setiap Wat Siam akan menerima RM5,000 dan digunakan untuk kegunaan wat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 10:04 AM