KHAIRINA Sari Khairuddin (kanan) memperkenalkan hidangan terbaru Grill Chicken Chop dan Ramlee (kiri)  bersama hidangan terbaru Moon Xl Burger.
KHAIRINA Sari Khairuddin (kanan) memperkenalkan hidangan terbaru Grill Chicken Chop dan Ramlee (kiri) bersama hidangan terbaru Moon Xl Burger.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Shah Alam: Planet Burger Bakar Remina Food (Planet Burger) akan meluaskan rangkaian perniagaannya ke seluruh negara dengan membuka 30 lagi cawangan menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ramlee Alang Ismail berkata, setakat ini terdapat 10 rangkaian Planet Burger di sekitar Lembah Klang yang menampilkan konsep burger bakar sepenuhnya dan mempunyai pilihan pelbagai menu menggunakan daging berkualiti tinggi (premium).

“Planet Burger adalah burger bakar pertama yang berkonsepkan gerai serta menyediakan menu berkhasiat kerana kami menggunakan daging premium yang kurang lemak pada harga sangat berpatutan.

“Malah, kami sudah menerima banyak permintaan dari luar Lembah Klang dan luar negara termasuk Thailand untuk menjadi rakan niaga Planet Burger, namun fokus kami adalah di Kuantan, Ipoh, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, syarikat memperkenalkan tiga pakej untuk mereka yang ingin menjadi rakan niaga iaitu pakej gerai dengan modal (RM5,500), kios (RM25,000) dan trak (RM150,000).

Ramlee berkata, dengan modal serendah RM5,500, pihaknya memberi set lengkap termasuk gerai, dapur gril, untuk membuka gerai Planet Burger serta stok bahan mentah.

“Kami juga akan memberi latihan kepada rakan niaga termasuk mengadakan promosi setiap bulan untuk menarik pelanggan dan lazimnya pelanggan yang menikmati burger di Planet Burger akan menjadi pelanggan setia kami kerana rasanya yang enak dengan pelbagai pilihan menu.

“Selain burger, kami juga menyediakan makanan barat seperti Lamb Chop, Grill Chicken dan pelbagai lagi daripada harga serendah RM5.50 hingga RM10 saja,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menampilkan resepi sendiri untuk memberi kelainan kepada setiap hidangan dan akan mengeluarkan produk baru sebelum akhir tahun ini.

“Selalunya dalam tempoh tiga bulan rakan niaga boleh mendapatkan semula modal mereka (ROI) dan jika lokasi yang dipilih strategik, dalam sebulan pun sudah dapat capai. Untuk maklumat lanjut boleh melayari Facebook (Planet Burger Bakar),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 7:52 AM