SEBELUM video Eerah bersama bapanya tular mereka hanya mampu menjual 60 burger sehari.
SEBELUM video Eerah bersama bapanya tular mereka hanya mampu menjual 60 burger sehari.
Noor Hidayah Tanzizi

Sepang: "Saya bersyukur apabila ada pelanggan cakap burger yang saya masak sedap dan menyukainya. Terima kasih selalu beri sokongan dan saya mahu rakan senasib tidak berasa malu dengan keadaan diri serta berusaha dengan cara sendiri," kata Orang Kurang Upaya (OKU), Jaheerah Nadzri.

Jaheerah, 29, atau lebih mesra disapa Eerah adalah peniaga OKU yang mendapat perhatian netizen di TikTok selepas dia berkongsi video memasak burger bersama bapa di gerai di hadapan Surau Al-Hijrah, Kota Warisan di sini, sehingga ada videonya meraih 13.9 juta tontonan.

Sebelum ini, anak bongsu daripada empat beradik itu pernah tular dan kisahnya juga pernah disiarkan Harian Metro kerana semangat dan usahanya mencari rezeki dengan berniaga cornflakes madu serta telur masin selain gemar berkongsi aktiviti termasuk bersolek ringkas.

Eerah berkata, dia minat memasak dan bersolek biarpun mempunyai kekurangan diri, namun tidak menganggap ia sebagai penghalang untuknya melakukan perkara diminati.

Menurutnya, dia membuka perniagaan burger bersama bapa, Nadzri Abd Majid, 66, sejak setahun lalu dan sentiasa mementingkan kebersihan dan kualiti masakan serta gerainya.

"Saya memang minat berniaga dan seronok dapat membuka gerai burger, malah berpuas hati apabila ada pelanggan cakap burger masakan saya sedap. Bagi saya memasak burger tidak susah dan ayah juga ada membantu saya.

"Saya mahu rakan senasib tidak malu dengan diri kita dan kita juga boleh berusaha dengan cara sendiri.

"Kalau Eerah boleh, rakan senasib juga boleh," katanya memberitahu dia belajar bersolek melalui YouTube ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sementara itu, Nadzri berkata, idea berniaga itu daripada Eerah kerana jualan kudapan diusahakannya bermusim dan kebetulan gerai burger lamanya masih ada, jadi mereka mengubah suai untuk memulakan perniagaan Eerah Burger.

"Apabila musim perayaan Eerah akan jual kudapannya dan sekarang kami memang berniaga burger secara tetap.

"Saya dan arwah isteri sebelum ini memang berniaga burger serta kuih muih dan sekarang minat itu turun kepada Eerah.

"Eerah akan memasak mengikut kemampuannya dan kalau kami didatangi pelanggan lebih empat orang, saya akan mengambil alih tugas memasak dan anak lelaki saya juga akan membantu apabila tidak sibuk," katanya memberitahu gerai dibuka setiap Ahad hingga Isnin bermula 6 petang hingga 12 tengah malam.

Menurutnya, sebelum ini mereka menjual 60 burger sehari dan sejak video anaknya tular, mereka tidak menang tangan apabila permintaan pelanggan semakin bertambah hingga meningkat dua kali ganda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 7:25 AM