SALEHA boleh terus berlakon  tapi akan lebih selektif terima watak.
SALEHA boleh terus berlakon tapi akan lebih selektif terima watak.
Nor Akmar Samudin


Lima bulan Siti Saleha, 27, mengikat tali pertungan dengan Lutfi Azhar, 31, tiada perkara kurang molek berlaku sebagaimana kepercayaan orang tua-tua mereka yang bertunang ‘berdarah manis’ dan pasti berdepan dugaan.

Menurut Saleha, hubungan mereka biasa saja dan saling memahami.

“Alhamdulillah, hubungan kami baik-baik saja dan selepas berkahwin dia tidak menghalang jika saya mahu terus berlakon. Namun, sebagai isteri saya mengambil inisiatif untuk lebih selektif menerima tawaran kerana mahu meluangkan lebih masa bersama suami,” katanya.

Bertemu dengannya baru-baru ini di Sri Pentas, TV3, Saleha mengumumkan bakal melangsungkan pernikahan pada 28 Julai depan selepas solat Asar di satu lokasi yang masih dirahsiakan.

“Saya juga sudah mendapat lokasi untuk majlis resepsi yang diadakan pada 29 Julai ini. Buat masa ini saya rahsiakan dulu lokasi pernikahan dan persandingan.

“Majlis pihak lelaki pula akan diadakan pada minggu berikutnya. Kami memang merancang buat semua majlis pada tarikh yang dekat untuk memudahkan saudara-mara jauh datang meraikannya. Apatah lagi keluarga saya menetap di luar negara,” katanya.

Terus berkongsi cerita hari bahagianya itu, Saleha menyerahkan tugas menguruskan majlis perkahwinannya kepada syarikat pengurusan acara yang dilantik. Majlis persandingannya bertemakan tradisional dan moden.

Mengenai keterbukaannya berkongsi detik bersejarah itu nanti bersama media, Saleha berkata, dia akan berbincang dengan bakal suaminya terlebih dulu.

“Saya tidak kisah jika ada media mahu membuat liputan pada majlis akad nikad dan resepsi, namun kenalah berbincang dengan bakal suami kerana bimbang dia tidak selesa. Maklumlah dia bukan selebriti, jadi saya kena ambil kira juga perasaannya,” kata Saleha.

Saleha dan Lutfi yang juga seorang pegawai kerajaan bertunang pada majlis tertutup di kediaman keluarganya di Bandar Puteri, Klang, Selangor pada 26 November lalu. Pasangan itu mulai rapat sejak setahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 2:01 AM