London: Bournemouth berada di ambang layak ke Liga Perdana buat kali pertama dalam sejarah kelab itu selepas menang 3-0 ke atas Bolton, awal pagi semalam.

Pasukan kendalian Eddie Howe membenam Wanderers menerusi gol Marc Pugh, Matt Ritchie dan Callum Wilson di Dean Court dan mereka kini tiga mata di depan pasukan tangga ketiga Middlesbrough dengan baki satu perlawanan.

Cherries akan terjamin tempat ke liga utama Inggeris jika meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada kunjungan ke Charlton, Sabtu ini atau jika Middlesbrough gagal menundukkan Brighton.

Sekalipun jika Bournemouth kalah dan Middlesbrough menang, pasukan dari pantai selatan itu mungkin sukar dinafikan tempat di Liga Perdana musim depan kerana mereka unggul dari segi perbezaan gol dengan +50 berbanding Middlesbrough +31.

Bournemouth juga mungkin boleh muncul juara Liga Kejuaraan jika mereka mengatasi keputusan pendahulu yang sudah layak Watford, satu mata di depan Cherries dan menanti kunjungan Sheffield Wednesday, Sabtu ini.

“Saya amat yakin tapi pasti satu kejutan besar jika kami tidak berjaya melakukannya. Kami masih ada satu perlawanan dan mahu berakhir setinggi mungkin,” jelas Howe.

“Anda tidak meraih apa-apa jika melakukannya sendirian. Usaha keras pemain dan staf kejurulatihan berbaloi.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 9:30 AM