AUSTIN (kiri) jaring gol pertama.
AUSTIN (kiri) jaring gol pertama.
Reuters

London: Peningkatan prestasi Southampton dalam Liga Perdana Inggeris berterusan apabila menewaskan Burnley 3-1 dengan dua gol jaringan Charlie Austin kelmarin manakala satu lagi kelab pendatang baru Middlesbrough, turut beraksi hambar selepas tewas 0-1 kepada Watford di laman sendiri.

Ketika Hull City tewas 1-6 di tangan Bournemouth Sabtu lalu, liga utama itu langsung tidak menunjukkan belas kasihan buat kelab baru musim ini yang berada di dasar liga selepas mempamerkan permulaan memuaskan.

Kekalahan kelmarin mungkin memberi kesan lebih buruk buat juara Liga Kejuaraan Burnley sekiranya penjaga gol Tom Heaton tidak menampilkan aksi kemas sebelum Austin menjaringkan gol ketujuhnya dalam enam perlawanan dengan jaringan pada minit ke-52 dan penalti pada minit ke-66.

Ia turut diselangi jaringan Nathan Redmond yang membantu Southampton kekal tujuh perlawanan tanpa kalah.

“Saya mempunyai tujuh jaringan dalam enam perlawanan terakhir tapi paling penting kami kekal tujuh perlawanan tanpa kalah,” kata Austin.

“Kami sedar ia mungkin tengah hari yang mengecewakan jika kami tidak menjaringkan gol awal tapi sebaik menjaringkan gol, ia terus menjadi.

“Pasukan ini akan terus mencipta peluang, ia satu impian buat mana-mana penyerang. Saya berada di tempat dan masa yang tepat.”

Gandingan naluri Austin dan kepantasan Redmond memberi kelebihan buat Saints yang terus yakin menjelang kunjungan ke Inter Milan dalam Liga Europa dan Manchester City dalam Liga Perdana.

Satu-satunya kekecewaan buat Southampton yang kini berada di tangga kelapan adalah mereka bolos gol pertama dalam tempoh 10 jam apabila Sam Vokes menjaringkan gol menerusi penalti pada minit ke-72.

Burnley kini tiga mata di atas Middlesbrough, di tangga ke-17 yang masih belum menang sebarang perlawanan di Riverside musim ini dan tewas dalam aksi hambar di tangan Watford yang sentiasa memberi ancaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 8:26 AM