London: Bournemouth melangkah setapak lagi untuk layak ke Liga Perdana apabila pendahulu Liga Kejuaraan itu menang 2-0 ke atas Brighton, awal pagi semalam.

Pasukan kendalian Eddie Howe itu melonjak empat mata di depan pasukan tangga kedua Norwich selepas gol babak kedua Yann Kermorgant (gambar) dan Callum Wilson melengkapkan kemenangan pada pertembungan jiran setempat pantai selatan di Stadium Amex.

Kermorgant menyempurnakan sepakan percuma cemerlang bagi meletakkan Cherries di depan pada minit ke-70 sebelum penyudah tenang Wilson memberikan pelawat kemenangan keenam dalam sembilan perlawanan terakhir.

Dengan berbaki empat perlawanan, Bournemouth, yang tidak pernah beraksi di liga utama, kini semakin hampir memenuhi impian mereka sekalipun Norwich, Watford dan Middlesbrough masih boleh memberikan tekanan terhadap mereka.

Kekalahan ketiga berturut-turut bermakna Brighton, yang berada sembilan mata di atas zon penyingkiran, belum lagi selamat.

Pengurus baru Wigan, Gary Caldwell menyaksikan pasukannya meneruskan harapan mengelak daripada tersingkir apabila bangkit dua kali sebelum seri 2-2 dengan Fulham. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:12 AM