Joshua King menarik perhatian United untuk menampung jentera serangan. FOTO File Agensi
Joshua King menarik perhatian United untuk menampung jentera serangan. FOTO File Agensi
Agensi

PENGURUS Bournemouth, Eddie Howe berkata Joshua King komited untuk memastikan kelab itu kekal dalam saingan Liga Perdana selepas perpindahannya semula ke Manchester United gagal disempurnakan.

United mahu menandatangani penyerang ketika tarikh tutup bulan lalu dan gagal mencapai perjanjian dengan the Cherries untuk mendapatkan King.

Pemain antarabangsa Norway itu yang digilap bakatnya menerusi Akademi United namun meninggalkan kelab berkenaan ke Blackburn dan menyertai Bournemouth pada 2015.

“Ia beberapa hari yang sukar buatnya, tetapi dia sangat memberi tumpuan pada kedudukan kami ketika ini,” kata Howe.

“Ia satu pengiktirafan besar dan detik penting baginya, untuk menarik perhatian Manchester United yang menunjukkan minat kepadanya.”

Bournemouth menang dua perlawanan terakhir liga melonjak ke tangga 16 dalam saingan Liga Perdana, dua mata mengatasi zon penyingkiran.

King yang masih dalam kontrak sehingga 2021, kembali menjalani latihan selepas tersisih tujuh perlawanan Cherries kerana mengalami kecederaan hamstring.

Howe memberi bayangan dia mungkin membenarkan pemain berusia 28 tahun itu meninggalkan kelab pada penghujung musim ini.

“Dia tahu kami berjuang untuk mengelak penyingkiran - tidak ada masa buat dirinya memberi tumpuan kepada diri sendiri. Dia mengetahui perkara itu dan dia sangat diperlukan pasukan,” tambah bos Cherries itu.

“Dia berusaha mengembalikan kecergasan dan mampu memberi sumbangan kepada pasukan.

Bournemouth akan berkunjung ke Sheffield United esok ketika mereka dibezakan dua mata dengan zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 11:29 AM