SIMON FRANCIS
SIMON FRANCIS
AFP

LONDON: Kapten Bournemouth, Simon Francis terpaksa melupakan baki aksi Liga Perdana Inggeris musim ini selepas diketepikan selama enam hingga sembilan bulan semalam susulan kecederaan ligamen lutut yang teruk.

Pertahanan berusia 33 tahun itu mengalami kecederaan ketika tewas 0-5 di laman Tottenham Hotspur, kelmarin.

“Kami kecewa kehilangan Simon kerana kecederaan lutut yang teruk,” kata pengurus Bournemouth, Eddie Howe kepada lawan web kelab.

“Ia satu tamparan besar kerana kami kehilangan kapten dan seorang yang bertindak bagus serta konsisten dalam jangka masa lama.”

Howe berkata: “Perjalanan masih jauh tapi Simon seorang contoh pemain profesional dengan pemikiran positif dikelilingi orang yang bagus. Saya tahu dia tidak akan berputus asa dalam usaha kembali beraksi secepat mungkin.

“Dia akan menerima rawatan perubatan sebaik mungkin selain sokongan setiap orang di kelab ini.”

Francis yang dilahirkan di Nottingham menyertai Cherries dari kelab London, Charlton pada Julai 2012 dan sejak itu melakukan lebih 300 penampilan bersama Bournemouth.

Di sebalik tewas besar kepada Spurs, Bournemouth menghuni tangga ke-11 dan 14 mata di atas zon penyingkiran Liga Perdana menjelang aksi menentang Manchester United di gelanggang lawan, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 11:36 AM