PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.
PERODUA Ativa, kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak terlaris di negara ini bagi rekod pada Mac.
PERODUA Ativa, kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak terlaris di negara ini bagi rekod pada Mac.

PERODUA Ativa yang dilancarkan bulan lalu menjadi antara faktor peningkatan jualan lebih tinggi dicatatkan Perodua bagi suku pertama 2021.

Untuk tempoh berkenaan, Perodua mencatatkan peningkatan 29 peratus jualan kepada 57,911 unit kenderaan berbanding 44,977 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu berikutan pengeluaran meningkat untuk memenuhi permintaan terhadap semua modelnya, terutamanya Perodua Ativa.

Malah, walaupun berdepan isu kekurangan cip semikonduktor, ia optimis untuk mencapai sasaran jualan sebanyak 240,000 unit tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, bulan Mac menyaksikan peningkatan jumlah jualan syarikat kepada anggaran 24,433 unit disokong oleh permintaan yang tinggi terutamanya terhadap Ativa yang menerima 14,574 tempahan sejak dibuka untuk pesanan pada 19 Februari lalu.

"Pendaftaran Perodua melonjak sebanyak 47.3 peratus kepada 24,433 unit pada Mac 2021 berbanding 16,583 unit pada Februari 2021," katanya dalam kenyataan.

Zainal berkata, daripada 14,574 tempahan Ativa yang diperoleh setakat ini, 4,345 unit telah dihantar sejak pelancarannya pada 3 Mac lalu dan seperti yang dijangka, 67 peratus daripada permintaan setakat ini adalah untuk varian AV.

Ini menjadikan Perodua Ativa, kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak terlaris di negara ini bagi rekod pada bulan Mac.

"Kami amat bersyukur, Perodua Ativa mencapai permulaan yang begitu kukuh dan kami telah berjaya mengatasi sasaran penghantaran bulanan sebanyak 3,000 unit pada bulan pertama," katanya.

Dari segi pengeluaran, Zainal Abidin berkata, Perodua menghasilkan 60,383 kenderaan pada suku pertama 2021 iaitu meningkat 23 peratus daripada 49,280 unit yang dihasilkan pada suku pertama 2020.

"Buat masa ini, cabaran terbesar kami adalah kekurangan cip semikonduktor, yang memberi kesan berbeza-beza kepada setiap pengeluar kenderaan pada skala global.

"Kami sedang bekerjasama dengan rakan niaga kami untuk mencari bekalan alternatif dan pada masa sama memantau keadaan setiap hari untuk memastikan operasi pengeluaran berterusan," katanya.

Menurutnya, walaupun berdepan isu semikonduktor, Perodua masih mampu mencapai sasaran jualan 2021 sebanyak 240,000 unit.

Sasaran jualan 2021 Perodua mewakili peningkatan sembilan peratus daripada 220,163 unit yang dijual pada 2020, dan dijangka membawa kepada perbelanjaan rekod sebanyak RM6.5 bilion pada tahun ini untuk membeli komponen tempatan.

Perodua turut menyasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit ( tambahan 23 peratus daripada 220,968 unit pada 2020) dan 2.4 juta pengambilan servis ( tambahan 20 peratus daripada dua juta pengambilan servis pada 2020) pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 7:00 AM