Kuala Lumpur: Frost & Sullivan, firma penyelidikan pasaran yakin industri automotif Malaysia kekal positif dan menjangkakan jualan kenderaan akan berkembang sebanyak 3.15 peratus serta mencecah 685,950 unit pada 2015.

Rakan kongsi Frost & Sullivan, Kavan Mukhtyar berkata, peningkatan jualan keseluruhan kenderaan (TIV) bagi tahun ini dijangka disumbangkan oleh pengenalan model kenderaan baru pada kadar harga kompetitif.

Katanya, penurunan harga bahan api juga akan mendorong kepada jualan kereta yang lebih tinggi pada suku pertama tahun ini.

“Kami menjangkakan jualan kereta kompak akan meningkat memandangkan pengguna lebih berminat ke atas kenderaan yang lebih menjimatkan minyak.

“Permintaan bagi Perodua Axia dan Proton Iriz pada akhir suku 2014 juga menyokong lagi pertumbuhan jualan kenderaan tahun ini,” katanya pada taklimat Unjuran Automotif Malaysia 2015 di sini, semalam.

Menurutnya, jualan kereta nasional dan bukan nasional pada 2014 dijangkakan mencecah 665,000 unit dan bagi segmen pasaran kereta nasional, Mukhtyar menjangkakan penguasaan pasaran sebanyak 53.2 peratus tahun ini, sama seperti peratusan pada 2014.

Mukhtyar berkata, penguasaan pasaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) sebanyak 33.1 peratus manakala Proton Holdings Bhd (Proton) menguasai 20.1 peratus daripada keseluruhan sektor kereta nasional.

Beliau berkata, Perodua melancarkan model Axia pada September lalu manakala Proton memperkenalkan Iriz pada Disember 2014 dan pihaknya hanya boleh melihat prestasi jualan penuh mulai tahun ini.

Syarikat kereta bukan nasional, UMW Toyota Motor Sdn Bhd, meningkatkan penguasaan pasarannya kepada 12.3 peratus pada 2014 berbanding 10.6 peratus pada 2013 manakala Honda Malaysia Sdn Bhd berkembang sehingga 13 peratus pada 2014 berbanding 8.8 peratus pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 5:29 AM