Kanak-kanak membawa air di Khamir.
Kanak-kanak membawa air di Khamir.
Orang ramai bertempiaran melarikan diri selepas serangan udara membedil kediaman Ali di Sanaa.
Orang ramai bertempiaran melarikan diri selepas serangan udara membedil kediaman Ali di Sanaa.
Agensi

Sanaa: Pemberontak Houthi, semalam menerima tawaran Arab Saudi untuk gencatan senjata bagi membolehkan usaha kemanusiaan selama lima hari bermula esok, namun menegaskan akan bertindak balas jika sebarang keganasan berlaku dalam tempoh itu.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan disiarkan media kebangsaan, Saba.

“Kami memandang positif sebarang usaha dan langkah serius bagi mengurangkan kesengsaraan rakyat, seterusnya membolehkan bantuan serta bekalan dibawa masuk ke Yaman.

Jurucakap Kolonel Sharaf Luqman berkata: “Rentetan cadangan negara lain untuk mengadakan kedamaian supaya sekatan ditamatkan dan kapal komersial dibenarkan mendarat di pelabuhan Yaman bagi memberi bantuan kemanusiaan, kami mengisytiharkan perjanjian gencatan senjata kemanusiaan.”

Unit tentera yang setia kepada Ali selepas dia dipaksa melepaskan jawatannya awal 2012 memainkan peranan penting dalam kejayaan pemberontak menawan wilayah di Yaman.

Pengisytiharaan penerimaan tawaran itu dibuat hanya beberapa jam selepas pesawat diketuai Saudi mengebom kediaman Ali di Sanaa.

Ali yang pernah memerintah Sanaa dalam tempoh lebih 30 tahun sebelum dipaksa melepaskan jawatan itu akibat pemberontakan selama setahun terselamat apabila tidak berada di dalam kediamannya ketika serangan.

Arab Saudi mengumumkan Jumaat lalu bahawa gencatan boleh dimulakan esok jika Houthi yang bersekutu dengan Iran bersetuju, seterusnya membolehkan bantuan makanan serta perubatan yang amat diperlukan penduduk tempatan dibawa masuk ke Yaman.

Saudi yang mengetuai pakatan tentera menjalankan serangan udara terhadap Houthi dan unit tentera yang setia kepada Ali sejak 26 Mac lalu bertujuan mengembalikan kuasa kepada Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi.

Houthi mendakwa kempen mereka menyasarkan untuk menumpaskan militan al Qaeda di Yaman. Mereka turut menuduh Abed Rabbo menyokong kumpulan berkenaan.

Sementara itu, serangan udara di rumah Ali berlaku untuk hari kedua berturut-turut.

Ali yang tidak cedera dilihat berdiri di runtuhan rumahnya dan mengejek Arab Saudi yang dirakam serta disiarkan Yemen Today.

Kejadian itu menyebabkan tiga letupan kuat kedengaran dan gumpalan asap dilihat di kawasan didiami Ali sekeluarga.

Serangan udara turut mengenai tempat simpanan senjata di Aden selain serangan di Saada, kubu kuat Houthi yang bersempadan dengan Arab Saudi.

Serangan di Saada itu dikecam Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Yaman, Johannes van der Klaauw kerana melanggar undang-undang kemanusiaan.

“Pengeboman kawasan yang berpenghuni tidak kiralah sama ada amaran sewajarnya diberikan, tetap melanggar undang-undang antarabangsa.

“Ramai penduduk terperangkap di Saada kerana tiada pengangkutan untuk membawa mereka keluar berikutan kekurangan bahan bakar. Perbuatan itu meletakkan nyawa ratusan penduduk dalam bahaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 7:05 AM