SEORANG penduduk Sanaa membawa barangan peribadi yang terselamat dalam serangan udara di bandar itu.
SEORANG penduduk Sanaa membawa barangan peribadi yang terselamat dalam serangan udara di bandar itu.
AFP

Riyadh: Tentera Arab Saudi kelmarin membunuh puluhan pemberontak Houthi Yaman yang melakukan serangan besar pertama di sempadan dua negara berkenaan sejak Riyadh melancarkan serangan udara terhadap mereka, bulan lalu.

Kementerian pertahanan berkata, tiga askarnya turut terbunuh dalam pertempuran itu selepas pemberontak menyasarkan pusat kawalan mereka.

Beberapa pertempuran pernah berlaku antara Houthi dan tentera Saudi di sempadan namun semalam kali pertama puak itu melakukan serangan penuh di kawasan itu.

Sementara itu, menteri negara Teluk kelmarin menolak cadangan untuk mengadakan perbincangan di lokasi berkecuali antara pihak-pihak bertelagah Yaman dalam pada laporan pakar yang dibentangkan di Majlis Setiausaha Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu mendakwa Iran menghantar senjata kepada Houthi sejak 2009.

PBB sedang berusaha mencari jalan penyelesaian bagi menamatkan serangan udara yang berlangsung sejak beberapa minggu lalu itu dan menggesa rundingan damai diadakan.

Selepas mengadakan perbincangan di Riyadh, menteri negara Teluk berkeras bahawa rundingan antara sayap politik Yaman mesti diadakan di Saudi.

Iran sebelum ini mencadangkan rundingan dianjurkan PBB bagi mengakhiri peperangan di Yaman diadakan di negara berkecuali, yang tidak dianggotai pakatan Saudi.

Dalam satu kenyataan selepas perbincangan diadakan di pangkalan udara Riyadh, enam Majlis Kerjasama Negara-Negara Teluk (GCC) ‘menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan sah Yaman bagi mengadakan persidangan di bawah naungan setiausaha GCC di Riyadh.’

“Persidangan itu akan dihadiri semua pihak di Yaman dan semua komponen yang menyokong kestabilan serta keselamatan negara itu,” kata setiausaha umum GCC Abdullatif al-Zayani.

Perbincangan yang diadakan kelmarin itu bertujuan membentangkan persediaan asas untuk sidang kemuncak pemimpin GCC pada Selasa depan, yang akan dihadiri Presiden Perancis Francois Hollande.

GCC dianggotai Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu. Hanya Oman tidak menganggotai pakatan Saudi berkenaan.

Serangan udara bermula penghujung Mac lalu selepas Houthi dan sekutu mereka mara ke bandar selatan Aden, tempat Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi melarikan diri apabila pemberontak menawan sebahagian besar kawasan di negara itu termasuk Sanaa.

Abed Rabbo berjaya melarikan diri ke Riyadh. Pada masa sama, Arab Saudi turut bimbang saingannya, Iran - yang menyokong puak Houthi berfahaman Syiah - menguasai kawasan jiran di selatan.

Iran bagaimanapun, menafikan ia membantu Houthi dan menggesa serangan udara dihentikan seterusnya rundingan diadakan segera.

Konflik itu meningkatkan ketegangan di rantau Arab. Iran berkata dua kapal pemusnahnya yang dihantar ke Teluk Aden sudah tiba di Bab al-Mandab, lokasi strategik antara Yaman dan Djibouti.

Teheran bagaimanapun menegaskan semua kapal perangnya akan menjauhi perairan negara lain.

Pakatan itu turut mengenakan sekatan ke atas udara dan laut di Yaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 7:58 AM