AFP

London: Pengurus Manchester United Louis van Gaal mengesahkan beliau berminat membawa kembali Cristiano Ronaldo ke Old Trafford, enam tahun selepas bintang handalan itu menyertai Real Madrid.

Van Gaal, dipetik beberapa akhbar Britain semalam berkata: “Kami melihat kepada semua pemain, bukan hanya Ronaldo. Namun, pemain seperti ini sukar dimiliki.

“Mengenai Ronaldo, kita tunggu dan lihat. Tiada seorang jurulatih di dunia yang tidak sukakannya. Dia bermain di bahagian sayap, bergerak pantas dan menjaringkan gol.”

Ronaldo menyebabkan Real Madrid berbelanja £80 juta (RM520.5 juta), rekod dunia ketika itu sewaktu meninggalkan England pada 2009, tetapi pemain yang akan berusia 31 tahun Februari ini kelihatan kecewa apabila tewas 0-4 kepada Barcelona.

Pemain Portugal itu meraih anugerah Pemain Terbaik Dunia tiga kali dan penjaring terbanyak sepanjang zaman di Real Madrid.

Di Sepanyol, dia memenangi satu gelaran liga serta Liga Juara-Juara 2014.

Sewaktu di bawah kendalian Alex Ferguson di Old Trafford, dia membantu United menjuarai tiga gelaran Liga Perdana Inggeris selain Liga Juara-Juara 2008.

Sementara itu, Van Gaal mengakui persembahan United belum cukup menarik biarpun menang 2-1 ke Watford kelmarin hasil jaringan lewat Troy Deeney ke gawang sendiri.

Skuad Van Gaal dikritik kerana corak permainan konservatif mereka di bawah kendalian pengurus Belanda itu musim ini, tetapi aksi bertahan mereka memberi manfaat di Vicarage Road.

Mereka mendahului seawal minit ke-11 menerusi Memphis Depay dan biarpun jaringan penalti Deeney pada minit ke-87, menamatkan rekod gawang tanpa bolos selama 10 jam, United merampas mata pada saat akhir apabila cubaan Deeney menghalang sepakan Bastian Schweinsteiger masuk ke gawang sendiri pada minit terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 10:02 AM