Kuala Lumpur: “Saya tak ada masalah kalau dia tampil bertanding jawatan timbalan presiden.”

Demikian kenyataan Datuk Nur Azmi Ahmad (gambar) ketika diminta mengulas keputusan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) mencalonkan bekas presiden George Koshy bertanding jawatan presiden serta timbalan presiden lelaki pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada 13 Mei.

Jelas Nur Azmi, Koshy sememangnya mempunyai kaliber memimpin badan induk itu apatah lagi dengan pengalaman luasnya selaku pengurus skuad kebangsaan sebelum ini.

“Ini pemilihan secara demokrasi yang bermaksud sesiapa saja boleh bertanding.

“Kalau perwakilan berasa ada orang lebih bagus, saya terima seadanya.

“Saya memang tiada isu dengannya, malah kami sudah lama kenal lebih-lebih lagi ketika Koshy menjadi pengurus skuad kebangsaan sebelum ini,” katanya kepada Arena Metro.

Koshy bagaimanapun difahamkan belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding jawatan presiden mahupun timbalan presiden.

Sekiranya Koshy mahu bertanding jawatan presiden, beliau memerlukan sekurang-kurangnya tiga pencalonan.

Ketika ini, Datuk Seri Subahan Kamal dilihat pilihan utama untuk memenangi kerusi presiden menggantikan Tengku Abdullah Ahmad Shah yang tidak mempertahankan jawatannya itu.

Persaingan kerusi timbalan presiden wanita juga dilihat sengit apabila menyaksikan naib presiden ketika ini Dr S Shamala dicabar K Maheswari.

Maheswari adalah penyandang jawatan naib presiden yang mempunyai rekod cemerlang selaku bekas pemain apabila pernah memenangi pingat gangsa Sukan Asia di New Delhi, India pada 1982, kali terakhir skuad wanita negara memenangi pingat di temasya sukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 10:34 AM