Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Hari ini bakal menentukan barisan kepimpinan baru Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang bertanggungjawab menentukan hala tuju badan induk itu untuk tempoh empat tahun akan datang.

Kepimpinan baru ini penting untuk mengembalikan semula reputasi MHC yang mencetuskan pelbagai kontroversi sejak kebelakangan ini, termasuklah pembatalan AGM sebelum ini berikutan masalah pindaan perlembagaan.

Seramai 32 perwakilan daripada 16 ahli gabungan bertanggungjawab menentukan barisan kepimpinan baru dan memastikan pilihan mereka tepat bagi ‘menyelamatkan’ MHC yang dilihat agak ‘tenat’ terutamanya daripada sudut kewangan.

Selepas kerusi utama presiden sah milik Datuk Seri Subahan Kamal yang tidak dicabar, tumpuan pasti lebih tertumpu kepada dua jawatan timbalan presiden, masing-masing untuk lelaki dan wanita.

Datuk Nur Azmi Ahmad yang kini menggalas tugas Naib Presiden Kanan MHC dicabar bekas pengurus skuad negara George Koshy manakala dua naib presiden Dr S Shamala serta K Maheswari bersaing sesama sendiri untuk kerusi timbalan presiden wanita.

Hakikatnya tidak pernah saingan sehebat ini kerana difahamkan peratusan untuk semua calon timbalan presiden menang sama rata.

Bagi George, beliau menghormati Azmi dan biarlah perwakilan memutuskan siapa pilihan terbaik.

“Saya tiada hak memaksa perwakilan memilih saya, hanya mahu mereka melihat apa yang sudah saya lakukan kepada sukan hoki sejak lebih 10 tahun lalu.

“Saya bukan ahli silap mata, tetapi saya percaya mempunyai jalan menyelesaikan pelbagai isu yang melanda MHC.

“Perkara pertama yang akan saya lakukan untuk MHC sekiranya terpilih adalah menyelesaikan masalah kewangan.

“Untuk atasi masalah ini, saya sudah mempunyai beberapa perancangan dan ia akan dibincangkan dengan presiden andai perwakilan memilih saya selaku timbalan presiden,” katanya pada sidang media semalam.

George pernah menggalas tugas selaku bendahari badan induk itu dari 2002 hingga 2004, pengurus skuad negara dari 2009 hingga 2014 dengan tugasan terakhir di Piala Dunia serta pengasas jenama Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).

Perwakilan turut bertanggungjawab memilih tujuh naib presiden terdiri daripada lima lelaki serta dua wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:23 AM