Iman (kiri) dan Nizam kendali KLHA. FOTO NSTP
Iman (kiri) dan Nizam kendali KLHA. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


SKUAD hoki Kuala Lumpur berwajah baru apabila menyambar dua individu penting sukan berkenaan untuk persiapan ke Sukan Malaysia (SUKMA) Johor tahun depan.

Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) mengumumkan dua individu terbabit adalah bekas penolong jurulatih skuad hoki wanita negara, Iman Gobinathan dan Ahmad Nizam Yusof.

"Iman akan menggalas tugas sebagai ketua pembangunan prestasi manakala Ahmad Nizam pula mengisi jawatan ketua pembangunan bakat," kata Presiden KLHA, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Ujarnya, kedua-dua individu berkenaan akan membantu skuad hoki lelaki dan wanita Kuala Lumpur untuk menyusun semula aspek latihan menghadapi Sukma 2020 di Johor.

“KLHA juga ingin mengesahkan buat masa ini skuad SUKMA lelaki akan dibimbing oleh James Murthy, manakala A Kannagi melatih skuad wanita.

“Dua individu yang baharu dilantik itu juga akan meningkatkan kualiti pemain muda Kuala Lumpur.

“Menerusi kehadiran kedua-dua jurulatih itu diyakini dapat membawa dimensi baharu terhadap falsafah dan corak latihan lebih sistematik.

Kami percaya kedua-dua jurulatih terbabit mempunyai rangkaian dengan kelab-kelab utama di Eropah bagi mengembangkan bakat pemain tempatan,” katanya.

Ahmad Nizam, bekas jurulatih pembangunan kelab hoki di Scotland, Uddingston pernah berjaya merekrut 25,000 pemain bagi mengikuti program pembangunannya sepanjang tempoh bersama kelab berkenaan.

Sementara Iman pula dikenali kerana mempunyai rekod baik sepanjang bersama skuad hoki tempatan. Kedua-dua jurulatih berkenaan akan memulakan tugas bermula 1 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 4:37 PM