London: Pengurus Manchester United Louis van Gaal mendakwa anak buahnya mempamerkan aksi terbaik musim ini walaupun tewas 0-1 di tangan Chelsea awal pagi semalam.

Jaringan tunggal Eden Hazard membolehkan Chelsea menang sekali gus bakal dinobat juara musim ini andai berjaya mengatasi Arsenal dan Leicester City selepas ini.

“Saya tidak kecewa dengan kekalahan itu. Saya bangga dengan pasukan saya. Kami mempamerkan aksi terbaik musim ini tetapi dalam bola sepak, anda boleh kalah walaupun ketika itu bermain lebih baik,” kata Van Gaal.

United melangkah ke perlawanan itu dengan enam kemenangan liga berturut-turut dan menguasai 70.3 peratus permainan di Stamford Bridge selain mencipta 15 percubaan berbanding tujuh dilakukan Chelsea. Mereka melengkapkan 665 hantaran manakala tuan rumah hanya berjaya mencatat 284 hantaran.

Walaupun menguasai permainan, United gagal mengancam penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois dan keputusan itu membuatkan mereka kekal di tangga ketiga, 11 mata di belakang skuad kendalian Jose Mourinho di puncak liga.

“Kami dalam proses menghasilkan sebuah pasukan mantap dan anda sudah boleh lihat kami semakin meningkat setiap minggu. Persembahan kami di sini memang menarik. Sukar dipercayai apabila kami tewas 0-1 tetapi itulah bola sepak.

“Peminat kami kecewa apabila tewas dan begitu juga saya. Itulah yang berlaku selepas kami bermain baik.

“Apabila anda boleh bermain seperti ini ketika menentang pasukan hebat seperti Chelsea, itu membawa petanda positif,” katanya lagi.

Van Gaal berasa pasukannya wajar diberikan penalti apabila Ander Herrera bertembung dengan pertahanan Chelsea Gary Cahill pada masa kecederaan.

“Bagi saya, ia satu kesalahan. Itu pendapat saya tetapi keputusan hak pengadil.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 8:03 AM