AFP

Liverpool, England: Ashley Young mendedahkan Manchester United meletakkan sasaran untuk menduduki tangga kedua Liga Perdana Inggeris dengan menampilkan persembahan seperti aksi final pada lima perlawanan terakhir liga.

United ketinggalan satu mata di belakang Arsenal yang masih mempunyai kelebihan satu perlawanan tetapi Young yakin skuad bimbingan Louis van Gaal itu mampu merampas kedudukan kedua liga di belakang Chelsea yang hampir pasti dinobat selaku juara.

“Setiap individu dalam pasukan ini yakin kami mampu menamatkan saingan di kedudukan tertinggi.

“Tempat kedua liga masih berpeluang untuk diburu dan untuk itu, kami perlu menang setiap perlawanan.

“Bagi kami, setiap perlawanan selepas ini adalah seperti final. Bermakna kami perlu turun dan menang semuanya,” katanya.

United akan berkunjung ke Goodison Park dengan sasaran untuk menang selepas tewas 0-1 kepada Chelsea minggu lalu.

Anak buah Van Gaal berasakan mereka kurang bernasib baik kerana gagal mengutip sekurang-kurangnya satu mata di Stamford Bridge dan Young, 29, menegaskan dia serta rakan sepasukan akan menjadikan kekalahan itu sebagai satu pengajaran.

“Kami tetap positif di sebalik kekalahan dengan Chelsea walaupun kami tidak jangka akan tewas.

“Kami menguasai permainan dan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol. Kami berasakan Chelsea bernasib baik dan dapat menjaringkan satu gol.

“Kini kami akan berdepan satu lagi lawan sukar kerana Everton sememangnya tidak akan memberi laluan mudah.

“Kami perlu terus berada di landasan tepat dan kembali mencatat kemenangan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:01 AM