London: Manchester United yang mempamerkan kebangkitan akhir-akhir ini memburu tangga ketiga Liga Perdana Inggeris apabila mereka bertemu Southampton kendalian Ronald Koeman di St Mary’s, awal pagi esok.

Selepas menang hanya tiga daripada tujuh perlawanan pertama liga, rentetan empat kemenangan membolehkan skuad kendalian Louis van Gaal berada satu mata di belakang Southampton yang mantap pada awal musim.

Anak buah Koeman melonjak ke tangga kedua liga selepas menang lapan daripada sembilan perlawanan antara hujung Ogos hingga awal November, namun seri di Aston Villa dan kalah kepada Manchester City dan Arsenal menjejaskan rentak mereka.

Kemenangan buat United akan melonjakkan mereka mengatasi Southampton di tangga ketiga dan membolehkan pasukan Van Gaal merapatkan kedudukan kepada lapan mata berbanding pendahulu Chelsea, yang tumpas 1-2 kepada Newcastle, kelmarin.

Ia turut mampu mengukuhkan keyakinan United menjelang pertemuan menentang musuh tradisi Liverpool hujung minggu ini, namun Van Gaal memberi amaran kepada pemainnya supaya tidak terlalu berpuas hati.

“Southampton bermain baik ketika ini dan mempunyai lebih banyak mata berbanding Liverpool, saya fikir bagus kami bermain menentang Southampton sekarang,” ujar pengurus United itu.

“Saya fikir mereka memiliki skuad bagus, ramai pemain yang saya kenal dan pernah ditawarkan kepada kami. Saya fikir mereka mampu berada dalam kelompok empat teratas, tapi ia juga kerana saya percaya dengan pengurusan Ronald dan adiknya.”

Hubungan Van Gaal dengan rakan senegaranya dari Belanda, Koeman menjadi tajuk sampingan bagi perlawanan awal pagi esok.

Koeman, 51, bekerja di bawah pengurusan Van Gaal, 63, di Barcelona, namun kedua-duanya bertelagah di Ajax pada 2004, apabila Koeman menjadi jurulatih dan Van Gaal pengarah teknikal. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 7:43 AM