Oleh Georgie Joseph


Melakar nama sejak 2013, satu lagi band K-Pop yang sema-kin kukuh namanya iaitu Royal Pirates seharusnya diberikan perhatian sekarang. Mereka bukanlah band kebiasaan, gelombang muzik dan cita rasa kumpulan itu ada kelas tersendiri.

Dianggotai tiga jejaka tampan kelahiran Amerika-Korea, James Lee (gitar bass), Andrew Kim (vokalis dan gitar) dan Kim Soo-yoon (dram dan gitar), muzik mereka disuntik elemen komersial dari Barat.

Seperti kebanyakan artis sekarang yang diteroka menerusi YouTube, Royal Pirates turut bermula dari situ. Rancak memuat naik lagu ‘cover version’ sekitar 2009, keunikan mereka pantas mencuri perhatian ramai.

Memperjuangkan muzik rock, band itu mengubah pelbagai rentak lagu termasuk genre pop dengan sentuhan tersendiri. Antara lagu ‘cover version’ yang berjaya menaikkan nama mereka termasuk Time is Running Out (Muse), Nobody (Wonder Girls), Circus (Britney Spears) dan Mirotic (DBSK).

Sambutan di laman itu sekali gus menjadikan mereka antara sensasi YouTube kegilaan ramai serta mula mendapat undangan persembahan di pentas besar.

Turut membantu melonjakkan lagi nama mereka apabila menyanyikan semula lagu berhantu Super Junior berjudul Sorry Sorry sehinggakan dijemput khas ke Korea Selatan untuk membuat persembahan. Bagaimanapun, kerana mereka masih bersekolah dan menetap di Amerika Syarikat membantutkan hasrat mereka.

Apapun, 2013 menjadi detik manis buat Royal Pirates apabila secara rasminya mereka tampil pada program Inkigayo mempersembahkan single sulung berjudul Shout Out.

Tidak hanya fokus kerjaya di Korea, band itu melebarkan sayap ke Jepun pula dengan melancarkan album pertama Shout Out sekali dengan versi bahasa Inggeris album itu.

Demi mengukuhkan lagi nama mereka, band itu tidak ketinggalan menjadi artis jemputan nama-nama besar termasuk Lee Min Ho. Turut serta pada siri jelajah aktor serta penyanyi itu, Royal Pirates makin meraih peminat di luar negara termasuk di Jepun dan China.

Antara faktor penting mereka begitu menyerlah berbanding pemuzik lain, selain memperjuangkan genre rock, ketiga-tiganya petah berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Berbekalkan kelebihan itu, mereka diterima baik peminat dan pasaran muzik Korea juga memberi ruang yang amat luas kepada mereka. ‘Material’ muzik mereka juga luar biasa dan pengalaman mereka yang berkelana lama di Amerika Syarikat membuatkan ‘perisa muzik’ yang dibawa mereka juga berbeza.

Terbaru tampil pula dengan album EP berjudul Love Toxic, Royal Pirates kini dalam rangka mempromosikan band itu lebih jauh lagi. Apa yang pasti, mereka juga bakal berkunjung ke Malaysia awal Mei ini.

Tiba masanya untuk peminat tempatan bertemu serta mengenali band itu secara dekat apabila mereka mengadakan showcase di 1Borneo Mall, Kota Kinabalu, Sabah pada 1 Mei manakala di Kuala Lumpur bertempat di Auditorium Muzik Bentley, Wisma Bentley, Mutiara Damansara pada 3 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 12:20 PM