ROYAL Pirates kembali ke Malaysia penuhi undangan sebagai artis jemputan program realiti Astro Star Quest dan promosi album terbaru, 3.3.
ROYAL Pirates kembali ke Malaysia penuhi undangan sebagai artis jemputan program realiti Astro Star Quest dan promosi album terbaru, 3.3.
Georgie Joseph


Di arena muzik Korea Selatan, nama Royal Pirates mungkin belum begitu dikenali walaupun sudah beberapa tahun terbabit dalam bidang muzik.

Dianggotai Moon, Exsy dan James, kumpulan yang bakat mereka dicungkil dari YouTube ini dilihat berpotensi besar untuk mencipta nama.

Selain berbakat dalam bidang muzik dan menjadikan muzik daripada Muse sebagai rujukan, mereka juga fasih berbahasa Inggeris sekali gus membantu untuk mencipta nama di luar Korea Selatan.

Walaupun belum mengecap kegemilangan, Royal Pirates sudah berjaya mengumpul peminatnya sendiri.

Buktinya, lebih 2,000 peminat membanjiri pekarangan sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, Ahad lalu ketika sesi Royal Pirates Meet The Fans Sessions.

Malah, ada peminat dikatakan sanggup menunggu seawal jam 8 pagi walaupun acara berkenaan hanya bermula pada jam 4.30 petang.

Sebaik kelibat mereka muncul di pentas, peminat serta-merta menjerit kegembiraan apalagi ketiga-tiganya tampil dengan senyuman menyenangkan.

Apa yang pasti, terpancar di wajah Royal Pirates betapa gembiranya mereka dapat kembali ke sini selain rasa tidak sabar menyapa peminat.

Ini adalah kunjungan kedua Royal Pirates ke Kuala Lumpur.

“Kami gembira dapat kembali ke sini selepas kunjungan terakhir meninggalkan kenangan yang sangat manis buat kami. Kami takkan lupakan bagaimana kamu mengalu-alukan kedatangan kami pada showcase yang berlangsung tidak lama dulu,” kata James.

Agenda sebenar Royal Pirates kembali ke sini kali ini adalah memenuhi undangan menjadi artis jemputan program realiti Astro Star Quest 2016. Bagaimanapun, semestinya pada masa sama mahu mempromosikan album terbaru mereka berjudul 3.3.

Sememangnya, sejak beberapa lagu daripada album itu diperdengarkan tidak lama dulu, peminat sendiri tidak sabar dengan album penuh terbabit. Transisi yang ditunjukkan Royal Pirates dalam album berkenaan nyata paling mendapat perhatian.

Mana tidaknya, selama ini band berkenaan memang sangat terkenal memperjuangkan muzik rock dan bukannya pop sebagaimana artis baru yang lain.

Itulah yang sebenarnya membezakan mereka sekali gus menjadi kelebihan untuk menonjol dalam industri muzik. Sekurang-kurangnya, pasaran untuk mereka tidak bertembung dengan artis pop.

Sempat berkongsikan mengenai album terbaru itu, menurut Moon sebagai vokalis, ia sangat memberikan kepuasan buat mereka sewaktu penghasilannya.

“Menerusi album ini banyak yang kami dapat salurkan bukan saja elemen baru dalam muzik bahkan perasaan peribadi dalam setiap lagu. Paling menggembirakan kami tentunya reaksi daripada peminat yang nampaknya turut berpuas-hati terhadap lagu baru itu,” katanya.

Walaupun singkat saja sesi ketika itu dan agak mengecewakan juga apabila mereka tidak membuat persembahan, namun kata janji Royal Pirates pastinya membuatkan peminat lega.

“Kami sendiri sudah tidak sabar untuk kembali beraksi di depan peminat di sini. Kami berharap impian itu akan terlaksana tidak lama lagi. Doakan kami ya,” tambah James pula.

Selain ditemu bual mengenai perkembangan terbaru mereka, Royal Pirates tidak ketinggalan meluangkan masa untuk sesi autograf bersama peminat terutama yang sudah membeli album mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 12:26 PM