ALEJANDRO (tengah), Daniel (kanan) dan Fabian sudah lama berkeinginan ke Malaysia.
ALEJANDRO (tengah), Daniel (kanan) dan Fabian sudah lama berkeinginan ke Malaysia.
Oleh Georgie Joseph


Bermula dengan video memainkan lagu popular di YouTube sejak 2007, nama band dianggotai tiga beradik Boyce Avenue ini terus utuh hingga sekarang.

Menjadi perintis kepada sensasi YouTube, kesungguhan band dianggotai Alejandro Manzano (penyanyi, gitar), Daniel Manzano (bass, penyanyi) dan Fabian Manzano (gitar), cukup terserlah seiring populariti.

Apa yang pasti, peminat mereka bukan saja dalam kala­ngan pengikut bakat baru sensasi YouTube masa kini, tetapi juga golongan dewasa.

Buktinya, bukan saja remaja, tetapi peminat dewasa turut hadir ke konsert sulung mereka di KL Live, Jalan Sultan Ismail, baru-baru ini.

Hampir 2,000 penonton yang hadir pada malam itu kagum dengan persembahan ‘live’ trio berasal dari Florida, Amerika Syarikat ini.

Mana tidaknya, bukan semua bintang kelahiran YouTube mampu berdiri di hadapan penonton tanpa gemuruh. Bagaimanapun, berbeza buat Boyce Avenue kerana terbukti sengat mereka lebih hebat di pentas berbanding dalam video.

Meskipun tampil ringkas tanpa set gah, kekayaan muzik disalurkan mereka itu sudah cukup membuatkan penonton hanyut.

Tidak hairanlah setiap kali tamat satu lagu, tepukan gemuruh dihadiahkan kepada mereka sebagai tanda persembahan itu memuaskan.

Bukan saja pada awal, malah tepukan makin bergema sehingga ke penamat konsert.

Seperkara yang cukup kuat pada band itu tidak lain tenaga mereka. Bayangkan, dalam tempoh lebih dua jam, Alejandro selaku penyanyi terutama tidak menunjukkan tanda-tanda penat.

Bermula de­ngan persembahan lagu pertama pada jam 9 malam hinggalah jam 11.15 malam, dia menonjolkan kemampuan maksima vokalnya yang hampir keseluruhan menyanyikan lagu bernada tinggi.

Bagaimanapun, apa yang mungkin mereka terlepas pandang ialah ‘setlist’ lagu terutama sekali buat peminat di sini.

Tidak disangkal lagi, Boyce Avenue antara nama yang paling digeruni apabila berbicara mengenai lagu ‘cover version’ kerana ‘twist’ serta jiwa mereka pastinya akan memberi impak hebat.

Makanya, itulah pasti diharapkan penonton apabila mereka perlu tampilkan lagu mesra peminat namun dalam cara hebat mereka itu. Sedikit ralat di situ, namun nyata mereka ada alasan kenapa lagu-lagu tertentu itu dipilih.

Apapun, mereka berjaya menghangatkan keadaan apabila mendendang­kan lagu popular seperti Story of My Life (One Direction), Use Somebody (Kings of Leon), Locked Out of Heaven (Bruno Mars) dan Fix You (Coldplay) dengan jayanya.

Turut dinyanyikan, lagu hit berhantu A Sky Full of Stars (Coldplay feat Avichi), Fast Car (Tracy Chapman), Because of You (Ne-Yo), Teenage Dream (Katy Perry) selain lagu mereka sendiri One Line dan Every Breath.

Sempat bertemu dan mewawancara mereka pada malam sebelum konsert berkenaan, ternyata hasrat untuk ke Kuala Lumpur sudah lama dipendam band terbabit.

“Sememangnya, Malaysia adalah lokasi di carta teratas yang kami memang lama idaman untuk kunjungi selama ini di sekitar Asia Teng­gara,” kata Alejandro.

Ternyata, mereka puas dengan sambutan malam itu serta sempat mengambil foto penonton yang hadir sebagai tanda kenangan manis berada di sini.

“Anda memang benar-benar mengagumkan. Jutaan terima kasih atas sokongan yang tidak teringatkan kamu berikan kepada kami selama ini,” katanya pula pada malam konsert.

Terdahulu, konsert berkenaan turut diserikan dua bintang YouTube tempatan popular iaitu Elizabeth Tan dan Narmi. Ternyata, per­sembahan dua penyanyi itu jelas tidak mengecewakan dan berjaya memikat penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 5:03 AM