US The Duo hasil gabungan suami isteri, Michael dan Carissa.
US The Duo hasil gabungan suami isteri, Michael dan Carissa.
Oleh Georgie Joseph

Setiap pemuzik ada perisanya tersendiri bagaimana mereka mahu memastikan perjuangan mereka lebih tersendiri. Baik daripada segi konsep muzik atau penampilan, tidak dinafikan keunikan perlu ditonjolkan seiring bakat.

Memulakan kerjaya seni empat tahun lalu, pembentukan kumpulan yang dipanggil Us The Duo ini sememangnya sangat menarik. Daripada pertemuan sebagai pemuzik, Michael dan Carissa Alvarado kemudian berkahwin dan sejak itu mereka bergerak bersama sebagai duo.

Paling ketara, dalam tempoh masa itu pengikut mereka bertambah mendadak daripada angka ribu kini sudah mempunyai jutaan peminat. Popular dengan lagu berjudul No Matter Where You Are, karya mereka begitu mendalam bercerita mengenai kehidupan serta pengalaman sendiri.

Giat berkarya dan turut memuat naik nyanyian mereka di YouTube, dari situlah sebenarnya karier muzik Us The Duo bermula. Gara-gara beberapa video, mereka meraih jutaan tontonan benar-benar menaikkan semangat duo itu terus menyanyi.

Sejak itu, Michael dan Carissa terus menulis lagu sehinggalah terhasil album sulung mereka berjudul Us. Selepas melancarkan album, mereka kemudian berkahwin dan mengembara seluruh dunia membuat persembahan.

Tidak lama pun mencipta nama, dalam masa lima bulan saja Us The Duo sudah meraih perhatian peminat. Apatah lagi, setiap kali memuat naik video nyanyian di YouTube, hasilnya tidak pernah mengecewakan.

Terutama menerusi lagu ‘cover version’ 6 Second Covers apabila mereka menggabungkan pelbagai lagu popular dalam satu nyanyian yang setiap lagu hanya berdurasi enam saat.

Satu video mereka yang diberi nama Top Hits of 2014 in 2.5 Minutes turut mencipta rekod tersendiri apabila mencecah lebih 12 juta jumlah tontonan sehingga semalam.

Diikuti tahun lalu, mereka tampil pula dengan album kedua berjudul No Matter Where You Are yang meraih pencapaian memberangsangkan di carta besar. Ia termasuk berjaya menduduki tempat ke-22 dalam Carta Pop iTunes serta ke-19 di Carta Heatseeker Billboard.

Bukan itu saja, single No Matter Where You Are turut dipilih menjadi lagu iringan filem animasi terbitan FOX iaitu The Book of Life. Berkisarkan kisah percintaan mereka sendiri, lagu itu jelas begitu indah dan peribadi.

Apa yang pasti, dalam sibuk menjelajah di sekitar Barat, Us The Duo juga nampaknya tidak akan mengetepikan peminat di Malaysia sendiri. Awal Julai nanti, mereka akan berkunjung ke sini buat kali pertama.

Hadir untuk bertemu peminat, pada kunju­ngan itu nanti juga mereka bakal mejayakan showcase Us The Duo Live in Kuala Lumpur 2015 bermula jam 8.30 malam di Auditorium Muzik Bentley, Mutiara Damansara, 5 Julai ini.

Bagi mendapatkan tiket showcase itu, caranya mudah saja iaitu dengan membeli album No Matter Where You Are di kedai muzik terpilih dan secara automatik mendapat dua pas menonton.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 11:16 AM