PENG Soon (kiri), Liu Ying mara suku akhir.
PENG Soon (kiri), Liu Ying mara suku akhir.

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara di Grand Prix (GP) Emas China Masters 2015 membuktikan kehandalan apabila mara ke suku akhir semalam.

Gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berjaya menjinakkan pasangan tuan rumah, He Jiting-Du Yue 21-15, 21-13 dalam aksi pusingan kedua di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Xincheng.

Selepas itu giliran kombinasi Tan Aik Quan-Lai Pei Jing pula menewaskan beregu Singapura, Terry Hee-Tan Wei Han 21-14, 21-17, sebelum Tan Chee Tean-Shevon Lai mengalahkan rakan senegara, Chooi Kah Ming-Lee Meng Yean 17-21, 21-16, 21-16.

Menurut Liu Ying, aksi mereka semalam boleh dipuji walaupun dia cuba mendapatkan rentak dan masih belum stabil seperti sebelum ini.

“Mungkin kerana mereka pasangan muda China dan kami gunakan kesempatan menumpaskan mereka,” katanya.

Jelasnya, mereka meletakkan sasaran mara ke separuh akhir tetapi buat masa ini tidak mahu terlalu memikirkannya.

“Kami hanya mahu memberikan aksi terbaik dan bermain cemerlang di setiap perlawanan,” katanya yang akan berentap dengan pasangan Singapura, Chayut Triyachart-Shinta Mulia Sari hari ini.

Aik Quan-Pei Jing pula akan menentang pilihan pertama dari China, Liu Cheng-Bao Yixin manakala Chee Tean-Shevon bertemu pasangan tuan rumah, Wiang Yilv-Tang Yuanting selepas mengejutkan pilihan kedua dari Singapura, Danny Bawa Chrisnanta-Vanessa Neo 17-21, 21-18, 21-16.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 10:08 AM