KIM Her (kiri) yakin Peng Soon-Liu Ying mampu jadi 10 terbaik dunia.
KIM Her (kiri) yakin Peng Soon-Liu Ying mampu jadi 10 terbaik dunia.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jurulatih beregu campuran negara, Tan Kim Her sedia menyahut cabaran Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen untuk menjadikan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying sebagai 10 pasangan terbaik dunia.

Menurutnya, beliau akan menerima cabaran itu tetapi semuanya bukan mudah, ditambah Liu Ying masih baru pulih daripada kecederaan lutut selepas menjalani pembedahan.

“Saya dan jurulatih Chin Eei Hui akan sama-sama melihat perkembangan Hui Ling dan bagi Peng Soon pula fizikalnya perlu diperkuatkan lagi,” katanya di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, paling penting kini adalah memastikan pasangan itu dapat melayakkan diri di Sukan Olimpik 2016 Rio.

“Sejak kebelakangan ini saya lihat persembahan mereka memuaskan dan harap semuanya berjalan lancar, begitu juga pasangan lain seperti Tan Aik Quan-Lai Pei Jing.

“Bagaimanapun, untuk melihat kedua-duanya layak ke Olimpik agar sukar kerana mereka perlu berada dalam ranking lapan terbaik dunia, cuma kita mengharapkan mereka saling bersaing antara satu sama lain,” katanya.

Kim Her juga berasa yakin selepas sistem sekarang semakin teratur dan bukan saja bakal memberi kebaikan kepada beregu senior tetapi juga pasangan muda.

“Satu petanda yang bagus dan saya gembira melihat Tan Kian Meng diserapkan dalam skuad beregu campuran. Saya rasa dia tidak ada masalah dari segi pengawalan gelanggang.

“Mungkin dari segi pemahaman asas acara ini Kian Meng belum cukup mahir tetapi saya yakin dalam tempoh dua atau tiga bulan, dia mampu membiasakan diri,” kata bekas pemain beregu lelaki negara itu.

Pada masa sama, Kim Her puas hati prestasi beregu muda seperti, Tan Chee Tean-Shevon Lai di Grand Prix (GP) Emas Master China 2015 apabila berjaya mara hingga suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 8:47 AM